Pemain PDRM FC Fadi Mahmoud Awad Saleh cuba mengelecek pemain pertahanan Kuching City FC  pada saingan Liga Super di Stadium Negeri hari ini.-Foto Bernama
Pemain PDRM FC Fadi Mahmoud Awad Saleh cuba mengelecek pemain pertahanan Kuching City FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri hari ini.-Foto Bernama

Kuala Lumpur: Kuching City FC akhirnya meraih kemenangan pertama dalam Liga Super musim ini selepas menewaskan PDRM 2-0 di Stadium Negeri, Kuching, sebentar tadi.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak hanya memerlukan dua minit untuk berada di depan menerusi jaringan pemain tengah, Muhammad Danial Amier Norhisham.

PDRM terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-37 apabila sepakan penalti Ifedayo Olusegun diselamatkan penjaga gol Kuching City, Shahril Saari.

Lebih malang buat PDRM apabila Jordan Mintah berjaya menyempurnakan sepakan penalti buat Kuching City pada masa kecederaan, sekali gus mengesahkan kemenangan bermakna buat pasukannya.

Kemenangan itu menyaksikan Kuching City mengumpul enam mata hasil satu kemenangan, tiga seri dan tewas sekali selepas mengharungi lima perlawanan.

Sementara itu, PDRM pula kekal dengan empat mata apabila merekodkan satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 11:03 PM