INDIVIDU dipercayai penyokong UAS ketika menyertai tunjuk perasaan berkenaan. FOTO AFP
INDIVIDU dipercayai penyokong UAS ketika menyertai tunjuk perasaan berkenaan. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Sekumpulan individu yang juga penyokong Ustaz Abdul Somad (UAS) mengadakan tunjuk perasaan di depan Kedutaan Besar Singapura, di sini, semalam .

Portal Detik.com melaporkan, perhimpunan itu bertujuan membantah tindakan Singapura yang menyekat pendakwah Indonesia itu daripada memasuki republik berkenan.

Perhimpunan diadakan bersama kumpulan Pertahanan Ideologi Sarekat Islam (Perisai).

Penunjuk perasaan membawa tiang bendera Merah Putih dan mengedarkan kertas mengandungi tuntutan.

"Tindakan yang dilakukan Singapura menandakan mereka secara terang-terangan menuduh UAS radikal, atau UAS itu dituduh Singapura pengganas," kata seorang jurucakap tunjuk perasaan, M Saleh.

Tiga tuntutan yang disampaikan dalam pemberitahuan kepada polis daerah Metro Jaya adalah mengecam dan mengutuk keras atas tindakan perbuatan tidak menyenangkan yang dilakukan oleh Imigresen Singapura terhadap UAS.

Dalam tuntutan kedua, mereka meminta Kedutaan Besar Singapura yang ada di Indonesia memberikan penjelasan dan meminta maaf secara terbuka.

Ketiga, mereka mahu Duta Besar Singapura diusir kerana sudah mengusir ustaz yang dihormati oleh rakyat Indonesia.

Menurut laporan media tempatan, dianggarkan seramai 50 pegawai polis dikerah untuk memastikan bantahan berjalan secara aman.

Selain Singapura, lima negara lain juga pernah menolak pendakwah itu memasuki negara masing-masing atas sebab yang sama, lapor CNN Indonesia.

Negara terbabit adalah Timor Leste, Hong Kong, England, Jerman serta Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 3:13 PM