TASIK Tuaknatun terbentuk selepas kawasan itu dilanda ribut taufan. FOTO IG NYONGGALANG
TASIK Tuaknatun terbentuk selepas kawasan itu dilanda ribut taufan. FOTO IG NYONGGALANG
Agensi

Jakarta: Ribut Tropika Seroja yang melanda turut Batuplat, Kupang, Nusa Tenggara Timur. baru-baru ini, memberi rahmat buat penduduk di situ apabila munculnya sebuah tasik selepas bencana berkenaan.

Portal Kompas melaporkan, Ketua Daerah Batuplat, Mariana Benny berkata, penduduk sepakat menamakan danau itu sebagai Tasik Tuaknatun bersempena dengan sejenis pokok yang ada di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, pemberian nama dilakukan kerana ramai bertanya mengenai tasik itu yang menjadi tarikan terbaru di kawasan berkenaan.

"Sejak adanya tasik itu, kawasan ini mendapat perhatian hingga ramai bertanya di mana lokasi dan bagaimana rupanya, jadi kami berikannya nama.

"Ia kerana sesuatu tempat itu dikenali kerana namanya," katanya.

TASIK Tuaknatun menjadi tarikan terbaru di Kota Kupang, Nusa Tenggara Timur. FOTO IG NYONGGALANG
TASIK Tuaknatun menjadi tarikan terbaru di Kota Kupang, Nusa Tenggara Timur. FOTO IG NYONGGALANG

Menurut Mariana, kemunculan tasik seluas dua hektar itu adalah salah satu fenomena alam yang terjadi pada tahun ini.

Malah, Mariana mengakui kali pertama melihat tasik di kawasan berkenaan sepanjang 24 tahun menetap di situ.

"Penduduk setempat bersyukur dengan adanya tasik itu kerana airnya bersih dan bentuknya cantik seperti pulau kecil dikelilingi lautan.

"Sebelum menjadi tasik, kawasan itu adalah tapak sukan permotoran.

"Saya mahu tasik ini kekal begini supaya semua dapat menikmati pemandangannya yang indah tanpa perlu melancong jauh," katanya.

Tasik itu terbentuk selepas lima mata air pecah akibat hujan lebat dan ribut taufan di wilayah berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Ribut Tropika Seroja yang melanda Timor Leste dan Indonesia menyebabkan tanah runtuh dan banjir.

Bencana itu menyebabkan sekurang-kurangnya 177 orang terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 12:46 PM