Dili: Polis di Timur Leste semalam menangkap dua banduan warga asing yang melarikan diri dari sebuah penjara di Bali, Indonesia dengan menggali terowong di bawah tembok, kata polis.

Polis berkata, banduan warga Bulgaria, Dimitar Nikolov Iliev dan warga India, Sayed Mohammed Said ditangkap berhampiran sebuah pelabuhan di Dili.

Kedua-dua banduan itu ditangkap selepas tiba dengan menaiki sebuah bot dari Indonesia.

“Kedua-dua banduan ini dipenjara kerana kesalahan berkaitan pengubahan wang haram dan dadah,” kata Ketua Polis Timur Leste, Julio da Costa Hornay.

Menurutnya, polis Indonesia mengemukakan maklumat melalui surat rasmi kepada polis Timur Leste untuk menangkap banduan berkenaan.

Iliev dan Said bersama dua lagi banduan melarikan diri dari penjara Kerobokan di Bali pada malam Ahad lalu dengan merangkak melalui terowong bawah tanah sejauh 12 meter.

Dua lagi banduan yang masih bebas adalah Shaun Edward Davidson warga Australia dan Tee Kok King, warga Malaysia.

Hornay memberitahu, pejabat peguam negara akan memutuskan sama ada mahu menghantar pulang dua banduan berkenaan ke Indonesia atau tidak. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 6:31 AM