Keadaan perkampungan di Timur Flores. FOTO AFP
Keadaan perkampungan di Timur Flores. FOTO AFP
Keadaan kampung Lamanele, Flores yang berlakunya tanah runtuh mengorbankan 23 orang. FOTO AFP
Keadaan kampung Lamanele, Flores yang berlakunya tanah runtuh mengorbankan 23 orang. FOTO AFP
AFP

Jakarta: Lebih daripada 75 orang mati, puluhan masih hilang selepas banjir kilat serta tanah runtuh melanda Indonesia dan negara jiran, Timor Leste, hari ini.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Raditya Djati berkata, banjir yang disebabkan hujan lebat menyebabkan bencana alam di pulau-pulau dari Flores di Indonesia hingga Timor Leste, menyebabkan ribuan orang melarikan diri ke tempat perlindungan.

Katanya, banjir dan tanah runtuh berikutnya menyebabkan empangan melimpah sebelum menenggelamkan ribuan rumah.

"Ia sekali gus menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa berusaha keras mencari dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

"Terdapat 55 orang mati, tetapi jumlah ini sangat subjektif dan ia (jumlah kematian) pasti bertambah. Dilaporkan, 42 orang masih hilang," katanya kepada penyiar MetroTV.

Warga emas bersama cucunya yang meninjau keadaan rumah mereka musnah akibat tanah runtuh dan banjir kilat di Flores. FOTO AFP
Warga emas bersama cucunya yang meninjau keadaan rumah mereka musnah akibat tanah runtuh dan banjir kilat di Flores. FOTO AFP

Dalam perkembangan sama, katanya, sekurang-kurangnya 21 orang dilaporkan terkorban di Timor Leste.

Menurutnya, ibu kota Timor Leste, Dili mencatatkan jumlah kematian tertinggi di pulau kecil terletak di antara Indonesia dan Australia itu.

Katanya, lumpur menenggelamkan rumah, jambatan dan jalan di perbandaran Flores Timur di Indonesia menghalang anggota pasukan penyelamat untuk tiba di kawasan terpencil yang terjejas selain mereka dilaporkan turut mengalami kesukaran kerana hujan dan ombak kuat.

"Lumpur dan cuaca ekstrem menjadi halangan kepada pasukan penyelamat melakukan operasi bagi menyelamatkan mangsa bencana alam itu," katanya.

Penduduk yang ketakutan bergegas melarikan diri ke tempat perlindungan sementara di wilayah terpencil atau berlindung di tempat tinggal mereka.

Sementara itu, Ketua Agensi Bencana East Flores, Alfons Hada Bethan berkata, ramai mangsa bencana alam memerlukan ubat, makanan dan selimut.

Laporan media tempatan turut melaporkan, beberapa kampung di Lembata yang terletak di lereng gunung antara Flores dan Timor Leste, dihanyutkan dari kawasan itu hingga ke pantai.

Januari lalu, banjir kilat melanda kota Sumedang di Jawa Barat, membunuh 40 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 1:45 PM