FCKL menjulang Piala Iber Barcelona 2024
FCKL menjulang Piala Iber Barcelona 2024
BERNAMA

Kuala Lumpur: Skuad FC Kuala Lumpur (FCKL) Bawah 14 Tahun (B-14) muncul juara Piala Iber Barcelona 2024 buat julung kalinya selepas menewaskan St Johns Wood United 2-1 pada aksi final berlangsung di Stadium Estadio Les Pistes, hari ini.

Menurut laman sesawang barcelona.ibercup.com, gawang anak buah Emma Hankins terlebih dahulu dibolosi lawan pada minit kelapan menerusi Xavi Esson sebelum pemain FCKL, Seb Joergensen menyamakan kedudukan tiga minit kemudian dengan bantuan Iazeel Masanawo de Alwis.

Kedua-dua pasukan yang enggan mengaku kalah, terus melancarkan serangan bertali arus sebelum penyerang FCKL Kalen Hanif Roznain-Brown menyumbat gol kedua yang kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Emma yang sudah melatih pasukan sejak tiga tahun lepas, memuji semangat juang ditunjukkan pemainnya kerana tidak sesekali menyerah kepada pasukan England.

"Tidak, ia bukan perlawanan yang mudah. Mereka mempamerkan perjuangan yang hebat. Lawan kita (St Johns Wood United) menjaringkan gol terlebih dahulu, mereka membiarkan peluang itu datang dan menyesuaikan diri, sedangkan kita kehilangan sesuatu.

"Tapi pada separuh masa, kita berbincang sekali lagi, kita hanya ingatkan pemain tentang potensi mereka. Kita mereka untuk fokus dan memenangi pertarungan. Kita telah mencapai tahap baharu dalam kejohanan ini (dan) mencapai tahap baharu (tetapi) kita tidak berpuas hati (kerana) kita sentiasa mahukan lebih," katanya.

Terdahulu, pada aksi separuh akhir berlangsung semalam, FCKL mengalahkan Manchester City UAE 2-0 untuk melakukan perhitungan dua terbaik berkenaan dengan Ethan Samuel Thaddaeus dan Putera Aman Azlan Shah, masing-masing meledak satu gol pada minit kesembilan dan 51.

FCKL merupakan sebuah akademi bola sepak remaja di Malaysia yang ditubuhkan pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:23 AM