TIGA suri rumah sebar video Jokowi haram azan ditahan. Foto/Agensi
TIGA suri rumah sebar video Jokowi haram azan ditahan. Foto/Agensi
AFP

TIGA suri rumah ditahan polis, semalam kerana menyebarkan video mendakwa Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) akan mengharamkan azan dan membenarkan perkahwinan sejenis sekiranya dia menang dalam pilihan raya jawatan disandang pada April ini.

Video itu dikongsi ribuan kali dalam talian memaparkan dua wanita memberitahu seorang lelaki warga emas kononnya Jokowi akan memberhentikan laungan azan di negara itu dan memaksa wanita Islam membuka hijab mereka.

Wanita terbabit turut mendakwa pemimpin beragama Islam itu merancang mengiktiraf perkahwinan sejenis yang sememangnya mendapat tentangan hebat dari rakyat Indonesia.

Bagaimanapun, polis tidak menyatakan dengan lanjut mengenai pembabitan tiga wanita itu dengan video terbabit, yang ditahan atas tuduhan menyebarkan maklumat palsu.

“Ini langkah pencegahan kerana video ini mampu mencetuskan konflik dan keresahan dalam masyarakat kita,” kata jurucakap polis tempatan, Trunoyudho Wisnu Andiko dalam satu sidang media.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 7:06 PM