Angota penguatkuasa DBKL membawa lelaki yang disyaki memberi rasuah kepada penguatkuasa ketika operasi Khas SPRM Bersama DBKL 'Ops Star' di Japan Padang, Bukit Bintang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Angota penguatkuasa DBKL membawa lelaki yang disyaki memberi rasuah kepada penguatkuasa ketika operasi Khas SPRM Bersama DBKL 'Ops Star' di Japan Padang, Bukit Bintang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menolak kemungkinan berlaku taktik warga asing mengupah gelandangan tempatan untuk memohon lesen perniagaan bagi membolehkan mereka berniaga.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan (JPK) DBKL, Mohd Muzammer Jamaluddin berkata, gelandangan akan diberi upah dan tempat tinggal berdekatan dengan lokasi perniagaan.

"Apabila operasi dijalankan, individu itu akan datang dan mengaku sebagai pemilik perniagaan itu.

"Justeru, kita jalankan operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur bertujuan mendapatkan maklumat serta mengenalpasti aktiviti perniagaan dimiliki atau dikendalikan warga asing.

"Dalam masa sama, JPK DBKL turut melaksanakan tindakan khas ke atas aktiviti perniagaan warga asing melalui rondaan secara harian," katanya ketika ditemui pada Op Star dijalankan di Jalan Padang, Bukit Bintang, di sini, semalam.

Beliau berkata, tindakan khas itu turut dijadikan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan Penguatkuasaan.

"Bagi tahun ini, sebanyak 24 siri tindakan khas premis perniagaan warga asing ditetapkan selain 24 siri bagi aktiviti penjajaan warga asing," katanya.

Mohd Muzammer berkata, sebanyak 3,588 notis kesalahan dikeluarkan, 4,080 tindakan sitaan dan 343 premis perniagaan ditutup dari tahun lalu sehingga sekarang.

"Bagi operasi hari ini (semalam), sebanyak 20 premis perniagaan diperiksa dan sebanyak 14 Notis Tawaran Kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis, pemegang lesen mengikut UUK 20(1)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 kerana mengambil mana-mana warga asing tanpa permit kerja sah untuk bekerja di premis perniagaannya.

"Kita tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak luaran mahupun dalaman terutamanya anggota penguat kuasa DBKL dalam aktiviti rasuah yang membabitkan salah guna kuasa atau penyelewengan," katanya.

Upah gelandangan mohon lesen niaga

Tak kompromi jika penguat kuasa terlibat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 12:17 PM