Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan prevalen bantut dan obesiti menunjukkan peningkatan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, prevalen bantut dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun meningkat daripada 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.2 peratus pada 2022.

Menurutnya, prevalen obesiti dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun juga meningkat daripada empat peratus pada 2015, 5.6 peratus pada 2019 dan 6.0 peratus pada 2022.

Katanya, bagi prevalen berlebihan berat badan dalam kalangan murid berumur 10 hingga 17 tahun turut meningkat daripada 14.6 peratus pada 2012 kepada 15.6 peratus pada 2017.

"Sementara itu, prevalen obes juga meningkat daripada 12.3 peratus pada 2012 kepada 14.8 peratus pada 2017. Data ini menunjukkan bahawa satu daripada tiga orang murid sekolah mengalami sama ada masalah berlebihan berat badan atau obes.

"Prevalen obesiti dalam kalangan dewasa meningkat dari 19.7 peratus pada tahun 2019 kepada 21.8 peratus pada tahun 2023," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai statistik rakyat Malaysia yang mengalami bantut dan obesiti dari tahun 2013 hingga 2023 dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Alias turut bertanyakan kesedian KKM untuk menyemak semula keberkesanan program untuk mengatasi isu bantut dan obesiti itu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, masalah bantut dan obesiti dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan tidak terhad kepada masalah pemakanan sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 12:03 PM