ORANG ramai berjalan melepasi ilustrasi kapal selam nuklear China di Muzium Tentera di Beijing pada 3 Mac 2024. FOTO AFP
ORANG ramai berjalan melepasi ilustrasi kapal selam nuklear China di Muzium Tentera di Beijing pada 3 Mac 2024. FOTO AFP
Reuters

Beijing: China menghentikan rundingan kawalan senjata nuklear yang baharu bermula dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai protes terhadap penjualan senjata Washington kepada Taiwan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata, penjualan senjata AS berulang kali ke Taiwan dalam beberapa bulan kebelakangan ini semakin serius menjejaskan suasana politik untuk meneruskan perundingan kawalan senjata.

"Oleh itu, pihak China memutuskan untuk menangguhkan perbincangan dengan AS mengenai pusingan baharu rundingan mengenai kawalan senjata.

"Tanggungjawab sepenuhnya terletak pada AS," katanya pada taklimat media di Beijing.

Lin berkata, China bersedia untuk mengekalkan komunikasi mengenai kawalan senjata antarabangsa, namun AS perlu menghormati kepentingan teras China dan mewujudkan syarat yang diperlukan untuk rundingan dan pertukaran.

Pegawai AS dan China menyambung semula perbincangan senjata nuklear pada November, tetapi rundingan kawalan senjata rasmi tidak dijangka dalam masa terdekat walaupun terdapat kebimbangan AS tentang peningkatan pesat senjata nuklear China.

AS menganggarkan, China mempunyai 500 peledak nuklear yang beroperasi dan mungkin akan mempunyai lebih 1,000 menjelang 2030.

AS pula, mempunyai simpanan kira-kira 3,700 peledak nuklear dengan 1,419 daripadanya digunakan.

Persekutuan Saintis Amerika menjangkakan, Rusia mempunyai kira-kira 1,550 senjata nuklear kerahan dan simpanan 4,489 peledak nuklear.

AS ialah penyokong antarabangsa dan pembekal senjata terpenting Taiwan, walaupun tanpa adanya hubungan diplomatik rasmi.

China berulang kali menuntut supaya penjualan senjata ini dihentikan.

Taiwan memprotes sejak empat tahun lalu mengenai peningkatan aktiviti ketenteraan China berhampiran pulau itu termasuk misi kapal terbang dan kapal perang China, hampir setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 11:53 AM