JOKOWI
JOKOWI
Agensi

Jakarta: Khabar angin yang mendakwa kerajaan Indonesia membenarkan kemasukan jutaan pekerja warga China mencetuskan kemarahan Presiden Joko Widodo (Jokowi) sehinggakan dia mengarahkan polis menjejaki dan menangkap mereka yang menyebar khabar angin itu.

Bercakap kepada wartawan di Karawang, Jawa Barat, Jokowi berkata, ketika ini hanya terdapat 21,000 warga China bekerja di Indonesia, bukan 10 juta seperti yang disebarkan kumpulan tertentu.

“Kes ini sudah dilaporkan kepada polis dan mereka yang menyebarkan khabar angin itu perlu ditahan,” kata Jokowi seperti yang dipetik kompas.com.

Menurutnya, 10 juta itu bukan jumlah warga China yang bekerja di Indonesia, tetapi jumlah pelancong China yang melawat negara itu.

“Jika mereka tidak mempunyai data, mereka sepatutnya tidak menyebarkan khabar angin itu. Ia hanya mengelirukan rakyat dan mencetuskan kemarahan,” kata Jokowi.

Menurutnya, jumlah pekerja warga China di Indonesia masih jauh lebih kecil berbanding pekerja Indonesia di negara lain, termasuk di Malaysia dan Hong Kong yang jumlahnya masing-masing dua juta dan 153,000.

Menurutnya lagi, pekerja asing tidak mungkin berminat untuk bekerja di Indonesia.

“Mereka tidak akan mahu bekerja di sini kerana gaji yang ditawarkan kecil. Saya bercakap mengenai hal ini dengan harapan khabar angin mengenainya akan terhenti,” kata Presiden Indonesia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 5:07 AM