KAPSUL Sarco. FOTO AFP
KAPSUL Sarco. FOTO AFP
AFP

Zurich: Pod bunuh diri mudah alih yang akan digunakan buat kali pertama di Switzerland dalam tempoh beberapa bulan, dijangka berpotensi menyebabkan kematian tanpa pengawasan perubatan.

Kapsul Sarco yang berharga AS$20 (RM93.34) kelihatan seperti zaman angkasa lepas, pertama kali diperkenalkan pada 2019, menggantikan oksigen di dalamnya dengan nitrogen, menyebabkan kematian akibat hipoksia.

Ketua Eksekutif The Last Resort, Florian Willet berkata, tiada perundangan yang melarang penggunaannya di negara itu berbanding lazimnya undang-undang membenarkan bunuh diri yang dibantu, jika individu itu melakukan perbuatan itu bersendirian.

"Memandangkan kita mempunyai senarai menunggu, meminta untuk menggunakan Sarco, kemungkinan besar ia akan berlaku tidak lama lagi.

"Saya tidak dapat membayangkan cara yang lebih indah (untuk mati), bernafas udara tanpa oksigen sehingga boleh lelap secara kekal," katanya dalam sidang media.

Peguam yang juga Lembaga Penasihat The Last Resort Fiona Stewart berkata, mereka tidak mahu kemahuan individu menjadikan Switzerland yang aman kepada 'sarkas' media.

"Ia akan digunakan di lokasi yang sangat terpencil, dalam keindahan alam semula jadi, walaupun ia harus berada di hartanah persendirian.

"Had umur minimum ditetapkan pada 50 tahun, walaupun jika seseorang yang berumur lebih 18 tahun sakit tenat, kami tidak mahu menafikan (hak) orang yang menderita berdasarkan umur mereka," katanya.

Pencipta alat itu, Sarco Philip Nitschke, seorang tokoh global terkemuka dalam aktivis hak untuk mati berkata, mereka yang ingin mati mesti terlebih dahulu lulus penilaian psikiatri tentang keupayaan mental mereka yang menjadi satu keperluan utama undang-undang.

Katanya, individu itu masuk ke dalam kapsul ungu, menutup penutupnya dan ditanya soalan automatik seperti siapa mereka, di mana mereka berada dan jika mereka tahu apa yang berlaku apabila mereka menekan butang.

"Jika anda mahu mati, suara itu berkata dalam pemproses, tekan butang ini.

"Sebaik sahaja butang itu ditekan, jumlah oksigen dalam udara menjunam daripada 21 peratus kepada 0.05 peratus dalam masa kurang 30 saat.

"Dalam dua hembusan udara dengan tahap oksigen rendah itu, mereka akan mula berasa keliru, tidak selaras dan sedikit gembira sebelum berada dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira lima minit sebelum kematian berlaku," katanya.

Nitschke berkata, Sarco memantau tahap oksigen dalam kapsul, kadar denyutan jantung seseorang dan ketepuan oksigen darah.

"Kami akan dapat melihat dengan cepat apabila orang itu telah meninggal dunia.

"Bagi seseorang yang mengubah fikiran mereka pada saat-saat akhir pula, sebaik sahaja anda menekan butang itu, tidak ada cara untuk berpatah balik (keputusan hendak mati)," katanya.

Setakat ini, tiada keputusan dibuat mengenai tarikh dan lokasi kematian pertama atau siapa pengguna pertama.

Bagaimanapun, potensi penggunaan kapsul itu menimbulkan pelbagai persoalan undang-undang dan etika di Switzerland, mencetuskan semula perdebatan mengenai kematian yang dibantu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 10:56 AM