MOHD Yusoff (kiri) bersalaman dengan Pan-gon pada sidang media khas di Wisma FAM, kelmarin. FOTO HAZREEN MOHAMAD
MOHD Yusoff (kiri) bersalaman dengan Pan-gon pada sidang media khas di Wisma FAM, kelmarin. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Peletakan jawatan Kim Pan-gon sebagai jurulatih Harimau Malaya perlu 'dibayar' dengan harga mahal apabila dikatakan perlu menyediakan RM3 juta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana melanggar kontrak.

Khabar angin itu bertiup kencang di laman sosial dan turut dilaporkan media hingga mengundang pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak tempatan.

Berdasarkan kepada situasi itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, setiap pekerja dan majikan terikat dengan kontrak masing-masing yang perlu dipatuhi dan diikuti.

Namun, beliau berkata, berkaitan isu Pan-gon dan FAM menyaksikan kedua-dua pihak berpisah secara baik selain badan induk bola sepak negara itu memikirkan sumbangan yang diberikan jurulatih dari Korea Selatan dalam mempertingkatkan kualiti pasukan kebangsaan ke tahap tertinggi.

"Mengikut undang-undang pekerjaan, majikan yang membatalkan kontrak atau memberhentikan pekerja perlu membayar pampasan termasuklah jika berlaku perkara sebaliknya.

"Mengenai peletakan jawatan Pan-gon, FAM dan bekas jurulatih itu mendapat persetujuan bersama tanpa sebarang perkara berbangkit.

"Kita menghormati keputusan beliau dan turut melihat sumbangannya kepada skuad Harimau Malaya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, gaji barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya sebelum ini boleh dikatakan mencecah ratusan ribu ringgit.

Secara keseluruhan, gaji pembantu jurulatih mengikut ranking mereka dalam pasukan adalah sekitar US$5,000 (RM23,600), US$10,000 (RM47,290) hingga US$15,000 (RM70,900).

Gaji ketua jurulatih pula dikatakan melebihi yang lain dengan lingkungan bawah US$20,000 (RM94,500).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 11:56 AM