MEILIANA ketika perbicaraan kesnya di mahkamah di Medan. Foto REUTERS
MEILIANA ketika perbicaraan kesnya di mahkamah di Medan. Foto REUTERS
AFP

HUKUMAN penjara yang dijatuhkan ke atas seorang wanita Indonesia kerana mengadu bunyi bising akibat pembesar suara masjid mencetuskan gelombang kritikan, dengan satu petisyen menggesa pembebasannya meraih lebih 100,000 sokongan.

Kumpulan hak asasi dan pertubuhan keagamaan terbesar negara majoriti penduduk Islam itu menyelar hukuman penjara 18 bulan kerana menghina yang dijatuhkan Selasa lalu terhadap defendan, seorang penganut Buddha Cina, di Medan, pulau Sumatera.

Tertuduh dikenali Meiliana, 44, didapati bersalah menghina Islam kerana meminta masjid di kejiranannya pada 2016 supaya merendahkan sistem bunyi kerana ia terlalu kuat dan ‘menjejaskan’ pendengarannya.

Satu petisyen dalam talian terhadap Presiden Indonesia Joko ‘Jokowi’ Widodo yang menggesa pembebasan wanita itu memiliki lebih 115,000 sokongan sehingga malam semalam.

“Lapan belas bulan penjara kerana meminta penduduk merendahkan bunyi laungan azan? Tolonglah!” tulis seorang penyokong petisyen.

Keputusan itu kemungkinan meningkatkan kebimbangan bahawa fahaman Islam sederhana di Indonesia semakin dipengaruhi puak radikal.

Kes itu mencetuskan rusuhan dua tahun lalu yang menyaksikan penduduk Islam yang berang menyerang kuil Buddha ketika segelintir etnik Cina lari dari kawasan itu.

Amnesty International mengecam keputusan Selasa lalu sebagai ‘tidak masuk akal,’ sementara Nahdlatul Ulama, pertubuhan Islam terbesar Indonesia berkata, aduan bunyi bising ‘tidak menyamai penghinaan.’

Tahun lalu, bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, pemimpin berketurunan Cina beragama Kristian dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana menghina dalam ulasan dibuat berkaitan ayat al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 8:39 AM