UNIT Forensik PDRM bersama anggota Bomba dan Penyelamat di lokasi kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, semalam, bagi mencari bahan bukti susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah. FOTO Asyraf Hamzah
UNIT Forensik PDRM bersama anggota Bomba dan Penyelamat di lokasi kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, semalam, bagi mencari bahan bukti susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah. FOTO Asyraf Hamzah
Raja Noraina Raja Rahim


Sungai Buloh: Polis mengesahkan wanita ditemukan mati dipercayai dibunuh di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, Selasa lalu, adalah Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia hasil keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh pihaknya hari ini.

"DNA positif, mayat adalah Nur Farah Kartini. Mayat akan diserahkan kepada keluarga hari ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beberapa individu terdiri daripada ahli keluarga Allahyarham Nur Farah kelihatan di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh di sini, 11.12 pagi tadi.

Turut kelihatan van jenazah daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipercayai akan membawa jenazah arwah untuk dikebumikan.

Sementara itu, abang arwah, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, berkata, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung Selangor.

"Jenazah kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Bentan, Pekan.

"Butiran berkaitan akan saya sampaikan nanti," katanya.

Terdahulu, media melaporkan jenazah bekas penuntut Universiti Sultan Idris (UPSI) itu tidak boleh dituntut waris kerana perlu menunggu keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil daripada ahli keluarganya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, keputusan bedah siasat hanya akan diketahui beberapa hari lagi kerana masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia.

Katanya, punca kematian masih belum dapat disahkan disebabkan keadaan mayat mangsa telah reput di bahagian dada dan muka.

Beliau dipetik berkata, hasil bedah siasat masih menunggu laporan lengkap makmal di Jabatan Kimia, yang mungkin memakan masa antara dua ke tiga hari.

Selain itu, katanya, terdapat masalah pengecaman daripada visual dan perlu mengambil DNA ibu serta adik-beradiknya sebelum mayat diserahkan kepada waris.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 11:57 AM