HUSSEIN Abu Assi, 67, berdiri di sebelah ahli keluarganya di rumah mereka di selatan Gaza, yang rosak teruk akibat pengeboman Israel. FOTO AFP
HUSSEIN Abu Assi, 67, berdiri di sebelah ahli keluarganya di rumah mereka di selatan Gaza, yang rosak teruk akibat pengeboman Israel. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Israel meneruskan serangan udaranya ke atas Gaza, semalam, selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikrar untuk meningkatkan tekanan terhadap Hamas.

Tentera Israel berkata, pihaknya melakukan 25 serangan dalam masa 24 jam, menyasarkan struktur tentera, infrastruktur dan sel 'pengganas'.

Kementerian kesihatan di Gaza berkata, 52 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel sejak tempoh 24 jam sebelumnya.

Agensi pertahanan awam wilayah itu berkata, 30 orang terbunuh dalam tiga serangan di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza iaitu satu di sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, seorang lagi di rumah dan satu pertiga daripadanya di masjid.

Katanya, serangan Israel semalam menyebabkan 15 kematian di seluruh tengah dan utara Gaza, manakala kementerian kesihatan melaporkan tiga kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh berhampiran Khan Younis.

Di selatan Gaza, dua orang terbunuh dalam pengeboman Israel di kawasan Shakush, barat laut Rafah, kata sumber perubatan di Hospital Nasser.

Pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh menuduh Israel sengaja menjejaskan rundingan untuk gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan kerana tidak mahu menamatkan perang.

Dalam panggilan telefon dengan Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, kelmarin, Ismail menyalahkan Israel atas kebuntuan mencapai gencatan itu.

"Kami bertindak positif dengan cadangan yang dikemukakan pengantara kepada kami tetapi penjajah mengelak keputusan yang diperlukan dan tidak mahu mencapai persetujuan untuk menamatkan perangnya," katanya.

Netanyahu, berulang kali menegaskan ikrar untuk menghapuskan Hamas walaupun tekanan (antarabangsa) meningkat dan menyatakan kempen Israel tidak akan berhenti bagi menentang Hamas.

"Inilah masa tepat untuk meningkatkan tekanan lebih banyak lagi, untuk membawa pulang semua tebusan yang hidup dan mati serta mencapai semua objektif perang," katanya dalam ucapan di parlimen, Selasa lalu.

Sekurang-kurangnya 90 peratus penduduk Gaza dipaksa keluar dari rumah mereka, kebanyakannya mencari perlindungan di sekolah yang dikendalikan PBB.

Tujuh daripada sekolah ini musnah dalam serangan Israel sejak 6 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 11:19 AM