SHUKRI Yahya dalam karavan.
SHUKRI Yahya dalam karavan.
Norhayati Nordin


Petaling Jaya : "Ya, saya ada beli sebuah karavan. Itu pun saya dapat membelinya selepas buat simpanan (wang) selama lebih setahun," kata pelakon Shukri Yahya, 36, apabila ditanya mengenai kenderaan karavan atau motorhome miliknya yang pernah tular sebelum ini.

Pada Mei lalu, Shukri membuat hantaran video di TikTok dan Instagram yang menunjukkan karavan itu dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti ruang memasak, tempat tidur dan tandas.

Mengulas dirinya yang mungkin boleh dikategorikan antara pelakon lelaki 'kaya' kerana membeli karavan, Shukri menepis dengan memaklumkan dia seorang yang suka menyimpan wang daripada hasil titik peluh kerjanya.

"Eh tak lah (dah kaya). Itu saya simpan duit (beli karavan) lama tu. Setahun lebih simpan duit, buat sikit-sikit. Hutang dengan banklah, bukan duit kita pun," katanya.

Mengenai lakonannya yang pernah terpalit kontroversi dengan babak intim atau berunsur 'soft porn' ketika membintangi drama Layang-Layang Perkahwinan, Shukri berkata, kini dia lebih berhati-hati.

"Serik sebab, teruk juga saya dikecam netizen. Ia sangat memberi pengajaran dan peringatan untuk saya elak melakukan babak sebegitu lagi. Cukuplah, saya tak nak ia berulang.

"Selain itu, saya juga cuba nak elak terbabit babak yang terlalu intim. Misalnya babak di bilik air atau seumpamanya. Macam yang saya cakapkan, saya kini belajar daripada kesilapan dulu.

"Saya juga tak mahu lagi selepas terjadi (kontroversi), baru saya nak fikir dan kenapalah tak fikir sebelum buat masa itu. Lagi pula, sampai sekarang netizen pun masih ingat kontroversi saya itu," katanya.

Shukri berkata, dia yang tidak ambil 'port' apabila kontroversi itu masih diperkatakan lagi, mengakui komen-komen netizen sehingga kini mesti mengingatkan dia untuk berhati-hati menjayakan babak dalam pembikinan drama terbaharunya.

"Ia (kontroversi) sebenarnya memberi kesan kepada penonton dan peminat-peminat drama yang mungkin sebelum ini percayakan saya. Apapun, itu adalah kali pertama saya berhadapan dengan semua ini.

"Dari segi pandangan saya, mungkin cara babak itu saya jayakan bagi menggambarkan kepada penonton bahawa berlakunya kecurangan. Namun, penerimaan orang lain adalah berbeza dan ramai yang begitu sensitif," katanya.

Menurut Shukri, dia sedar apa yang berlaku itu juga mungkin disebabkan status dirinya sebagai suami orang dan bapa yang mempunyai anak-anak, maka tidak sepatutnya ia dilakukannya.

Terdahulu, Shukri ditemui media ketika hadir menjayakan sesi fotografi drama terbarunya, Hai Cinta Dengarkanlah yang ditayangkan di slot Akasia TV3 akan datang dengan turut dibintangi Anna Jobling dan Niezam Zaidi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 11:47 AM