ARIARNE memecahkan rekod dunia acara 200m gaya bebas ketika sesi ujian Australia, bulan lalu. FOTO AGENSI
ARIARNE memecahkan rekod dunia acara 200m gaya bebas ketika sesi ujian Australia, bulan lalu. FOTO AGENSI
AFP

Sydney: Perenang Australia, Ariarne Titmus mengakui tidak pernah membuat persediaan sehebat ini dan kini dalam keadaan lebih baik berbanding ketika memenangi pingat emas Olimpik bagi acara 200 meter (m) dan 400m gaya bebas di Tokyo 2020.

Lebih menarik, dia menuju ke Paris 2024 dengan kemampuan memecah rekod dunia 200m, bulan lalu dan mencatat masa kedua terpantas sepanjang zaman bagi acara 400m, yang juga di belakang rekod dunia miliknya.

Situasi itu menyaksikan Ariarne sebagai pilihan utama dalam kedua-dua acara dan laluannya dalam acara 200m dijangka lebih mudah apabila pesaing dari Amerika Syarikat (AS), Katie Ledecky dan perenang muda Kanan, Summer McIntosh memilih untuk fokus kepada acara lain.

Airarne turut turut berenang dalam acara 800m dan memenangi perak di belakang Katie di Tokyo 2020, yang ditunda kerana pandemik Covid-19.

"Saya fikir sebagai atlet, saya meningkat dengan banyak dalam tempoh tiga tahun kebelakangan dan sebagai manusia, saya meningkat lebih banyak," kata perenang berusia 23 tahun itu ketika ditemui di kem latihan skuad renang Australia di pinggir Paris.

"Saya fikir, dari segi mental, saya banyak belajar daripada Sukan Olimpik sebelum ini.

"Saya fikir, situasi berbeza kali ini kerana ramai penonton dan ia membuatkan saya sangat teruja.

"Tetapi sudah pasti sebagai atlet, saya berada dalam kedudukan lebih baik berbanding tiga tahun lalu. Saya fikir membuat persediaan terbaik berbanding mana-mana kejohanan sebelum ini."

Katie yang dikejutkan oleh Ariarne dalam acara 200m dan 400m di Tokyo, bakal menyertai acara 400m, 800m dan 1500m di Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 11:16 AM