YAMAL bakal menggunakan jersi nombor 19 di Barcelona. FOTO X BARCELONA FC
YAMAL bakal menggunakan jersi nombor 19 di Barcelona. FOTO X BARCELONA FC
Agensi

London: Lamine Yamal bakal mengikut jejak langkah Lionel Messi apabila akan menggunakan nombor jersi pernah dipakai pemain terkenal Argentina itu di Barcelona.

Biarpun masih muda, Yamal berjaya meletakkan dirinya sebagai tonggak utama kelab dan pasukan kebangsaannya sejak berusia 15 tahun lagi.

Pemain berusia 17 tahun itu kini menempa nama dalam sejarah penjaring termuda di Kejohanan Eropah (Euro) 2024, baru-baru ini dengan usia 16 tahun 362 hari selepas meledak jaringan ketika aksi separuh akhir menentang Perancis.

Dia turut membantu jaringan di final Euro yang menjadi sumber inspirasi kepada kejayaan Sepanyol menewaskan England, 2-1.

Yamal sebelum ini menyarung jersi bernombor 27 di Barcelona, tetapi kini memakai nombor 19 yang pernah dipakai Messi.

Messi pernah memakai jersi bernombor 19 itu bersama kelab dari tahun 2005 hingga 2008 sebelum menukar kepada nombor 10.

Sergio Aguero sebelum ini turut pernah menyarung nombor jersi sama di Barca, selain Patrick Kluivert ketika musim 1998-99.

Vitor Roque yang menyertai kelab sejak Januari lalu memakai nombor jersi 19 di Barca pada musim lalu, namun masa depannya kini tampak kekal kabur.

Yamal yang menyambut ulang tahun ke-17 baru-baru ini, dilihat sebagai 'halangan utama' lawan di kempen Euro 2024 dan bintang muda itu kini bakal kembali ke pangkuan Barca dengan reputasi lebih tinggi.

Pemain muda terbaik Euro 2024 itu meledak tujuh gol dan membantu 10 jaringan dalam 51 penampilannya bersama Barca pada musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 11:48 AM