GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi memaklumkan TikTok akan menambah jumlah moderator bagi meneliti kandungan dan sesi 'live' atau siaran langsung dalam pelbagai bahasa termasuklah bahasa Tamil.

Ia selepas kematian seorang pempengaruh TikTok dikenali Rajeswary atau Esha ditemukan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa buli siber, 5 Julai lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kebanyakan sesi TikTok 'live' berlaku pada waktu tengah malam.

"Saya meneliti maklumat yang saya terima berkenaan aduan dalam kes TikTok 'live' melibatkan mendiang Rajeswary. Difahamkan TikTok 'live' itu berlaku sekitar jam 3 atau 4 pagi. Memang mod pemantauan perlu berubah.

"Dalam perbincangan saya dengan pihak TikTok, mereka mengambil serius kejadian ini dan juga sangat terkesan.

"Mereka dengan segera menambah jumlah moderator yang akan meneliti termasuk kandungan dan sesi TikTok 'live' dalam bahasa vernakular termasuk dalam bahasa Tamil," katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan R Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai langkah yang diambil pihak kementerian bagi memastikan kawalan kandungan yang efektif dalam pelbagai bahasa di platform media sosial.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihaknya juga melihat terdapat keperluan untuk mengambil tindakan tegas terhadap masalah yang berlaku membabitkan platform media sosial.

"Banyak perkara yang kita minta supaya platform ini segera betulkan. Saya lihat ada keperluan untuk mengambil tindakan lebih tegas," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, platform media sosial juga culas dalam membuat pengesahan mengenai umur pemilik yang mahu membuka akaun media sosial.

Beliau turut menggesa semua pihak seperti wakil rakyat agar tidak membenarkan kanak-kanak berusia bawah usia 13 tahun membuka akaun media sosial.

"Tolong pastikan mereka tidak membuka akaun media sosial kerana semua platform tidak membenarkan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun dari membuka akaun media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 12:17 PM