Angota penguatkuasa DBKL memeriksa pengenalan lelaki yang disyaki memberi rasuah kepada penguatkuasa ketika operasi Khas SPRM Bersama DBKL 'Ops Star' di Japan Padang, Bukit Bintang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Angota penguatkuasa DBKL memeriksa pengenalan lelaki yang disyaki memberi rasuah kepada penguatkuasa ketika operasi Khas SPRM Bersama DBKL 'Ops Star' di Japan Padang, Bukit Bintang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Upah gelandangan warga tempatan untuk mohon lesen perniagaan, dibayar serta diberi tempat tinggal sebelum perniagaan itu diuruskan warga asing.

Itu antara modus operandi dilakukan warga asing yang menjalankan perniagaan di sekitar Lembah Klang termasuk merasuah pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melindungi aktiviti mereka.

Ringkasan Berita
  • Peniaga warga asing disyaki guna gelandangan tempatan bagi mohon lesen perniagaan atas nama mereka.
  • Gelandangan ini diupah antara RM400 hingga RM500 sebulan.
  • Tempat tinggal untuk gelandangan biasanya turut disediakan di sekitar lokasi perniagaan.
  • Ini bagi memudahkan mereka tampil jia pihak berkuasa melakukan pemeriksaan mengejut.
  • Pihak berkuasa juga tidak menolak modus operandi sindiket lesen 'ali baba' turut menggunakan kaedah itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Menurut sumber, warga asing yang menjalankan perniagaan di sekitar Lembah Klang dipercayai turut mengambil gelandangan warga tempatan untuk memohon lesen perniagaan daripada PBT.

    "Gelandangan ini kemudian akan diupah sekitar RM400 hingga RM500 dan turut dicari rumah sewa berhampiran tempat perniagaan.

    "Apabila operasi dijalankan individu terbabit akan datang dan mengaku sebagai pemilik," katanya.

    Malah ada juga warga tempatan yang memiliki lebih daripada satu lesen perniagaan akan 'dialibabakan' kepada warga asing dan menunggu bayaran bulanan tanpa perlu bersusah payah berniaga.

    Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan Op Star serta menahan lima warga tempatan, dua warga asing dan seorang pemastautin tetap (PR) kerana disyaki menyogok penguat kuasa sebagai balasan melindungi aktiviti perniagaan warga asing yang menggunakan lesen 'ali baba' di ibu negara.

    Dalam operasi selama tiga jam bermula 11.30 pagi itu, DBKL turut mengeluarkan kompaun terhadap kesalahan dilakukan premis.

    Tindakan diambil susulan pendedahan eksklusif Harian Metro pada 7 Jun lalu bertajuk 'Wang Ekspres' dan 'Ali Baba kebal' yang disiarkan pada 16 Julai mendedahkan warga asing mendominasi perniagaan di Lembah Klang dan berselindung di sebalik lesen warga tempatan.

    Menurut sumber, hasil risikan dijalankan Bahagian Perisikan SPRM sejak enam bulan mendapati kesemua suspek yang bertindak sebagai penjaga premis ini membayar sejumlah wang rasuah antara RM200 hingga RM1,000 kepada beberapa penguat kuasa PBT bagi membolehkan aktiviti perniagaan dapat berjalan tanpa dikenakan tindakan undang-undang.


    "Premis perniagaan yang dijalankan warga asing ini bukan saja beroperasi dengan menggunakan lesen 'Ali Baba', iaitu lesen milik warga tempatan namun turut menggajikan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang mana jelas menyalahi undang-undang.

    "Selain itu, ada premis dikesan menyalahgunakan lesen dengan menjalankan aktiviti perniagaan berbeza dengan lesen diberikan," katanya.

    Sumber berkata, wang rasuah juga sebagai balasan bagi membocorkan sebarang maklumat operasi penguatkuasaan kepada mereka.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

    Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini bagi proses pertuduhan.

    Terdahulu, wartawan yang mengikuti operasi turut mendapati seorang penjaga premis memiliki lebih daripada empat kedai menjalankan perniagaan kedai makan, kedai runcit, kedai gunting rambut dan kedai pakaian.

    Malah ada kedai makan yang tidak mempunyai papan tanda dan dikendalikan warga asing namun apabila pihak DBKL datang membuat pemeriksaan, penjaga premis tempatan terbabit muncul.

    Malah wartawan turut menemu bual seorang warga asing yang berada di kedai runcit, tetapi dia tidak mengaku sebagai pemilik sebaliknya hanya bekerja di situ.

    "Saya sudah 10 tahun bekerja di sini dan majikan saya orang tempatan. Saya hanya diberi upah berkerja di sini," katanya.

    Malah ketika pemeriksaan dijalankan ada penjaga premis yang cuba menyogok PBT dengan menyatakan mahu 'belanja' dan berbincang supaya kedai itu tidak ditutup.

    Namun sebaik menyedari kehadiran media, individu terbabit tidak meneruskan niatnya berbincang dan menyogok pihak PBT.

    Datang mengaku 'tauke' bila ada operasi

    Tak kompromi jika penguat kuasa terlibat

    Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 12:01 PM