Pereka Itali, Domenico Dolce (kanan) dan Stefano Gabbana mohon maaf kepada China. FOTO REUTERS
Pereka Itali, Domenico Dolce (kanan) dan Stefano Gabbana mohon maaf kepada China. FOTO REUTERS
AFP

BEIJING: Pengasas jenama fesyen terkemuka Itali, Dolce & Gabbana, memohon maaf kepada pelanggannya di China, hari ini ketika perbalahan berhubung kenyataan berunsurkan perkauman memuncak dengan produknya ditarik balik daripada platform perdagangan elektronik negara itu yang menguntungkan.

Dalam usaha memulihkan reputasi mereka di pasaran mewah paling penting dunia itu, Domenico Dolce dan Stefano Gabbana mengambil masa seminit 30 saat mengaku salah dengan berkata ‘maaf’ dalam bahasa Mandarin dalam video yang disiarkan di platform media sosial China.

“Keluarga mengajar kami supaya menghormati perbezaan budaya di seluruh dunia dan disebabkan ini kami memohon maaf jika melakukan kesilapan dalam mentafsir anda,” kata Dolce dalam bahasa Itali.

Sementara Gabbana menambah: “Kami mahu meminta maaf kepada semua orang Cina seluruh dunia dan mengambil perkara ini dengan amat serius.”

Video dengan sari kata China itu disiarkan di akaun Weibo rasmi jenama itu, yang mempunyai hampir sejuta pengikut.

Syarikat itu sudah pun mengeluarkan permohonan maaf secara bertulis selepas skandal itu menyebabkan selebriti China memulaukan pertunjukan fesyen Dolce & Gabbana di Shanghai, yang kemudian dibatalkan.

Kontroversi bermula selepas Dolce & Gabbana menyiarkan klip pendek di Instagram menunjukkan seorang wanita China memakan piza, spaghetti dan cannoli dengan penyepit, yang dianggap tidak peka kepada budaya negara itu.

Namun ia memuncak selepas tangkap layar yang tersebar di Instagram pengguna mendakwa perbualan dengan Gabbana, yang menggunakan lima emoji najis untuk menggambarkan China dan menghina negara dan penduduknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 9:51 PM