Oleh Nor Faizah Mohamed .

Dia diangkat selaku ikon, juga inspirasi bagi rumah fesyen ternama dunia. Bagi Dolce & Gabbana, David Gandy ibarat epitome kepada jejaka maskulin ideal Itali, elegan dan klasik tapi masih dalam nadi kontemporari.

Dilahirkan di pinggir kota London pada 19 Februari 1980, Gandy terbabit dalam bidang peragaan seawal usia 21 tahun, sejurus menjuarai pertandingan peragaan yang dianjurkan salah satu stesen televisyen British.

Pada 2006, lelaki ini diberi kepercayaan oleh Dolce & Gabbana sebagai teraju kempen haruman Light Blue Pour Homme yang menyaksikan wajah Gandy terpampang di papan iklan setinggi 50 kaki di Times Square sementara iklan televisyen berjaya mencecah 11 juta hit di medan siber.

Susulan itu, mania David Gandy mula merebak dalam industri fesyen dunia hingga membuka peluangnya bekerjasama dengan jurufoto tersohor antaranya Mario Testino dan Steven Meisel.

Selepas beberapa tahun, Gandy kini kembali berkolaborasi dengan Testino bagi kempen Light Blue musim ini. Seperti apa yang dikatakan Testino, Gandy masih seperti dulu. Dolce & Gabbana sememangnya berjaya mencetuskan aliran fesyen tersendiri yang nyata diterjemahkan dengan baik oleh Gandy.

"David Gandy mempunyai sesuatu yang dimiliki supermodel era 1980-an. Dia menzahirkan impak sihat dan positif. Ia sesuatu yang sukar didapati pada model muda ketika ini," ungkap Testino.

Sentimen sama disuarakan Gandy sejurus digandingkan bersama Testino dan Bianca Balti, watak heroin dalam kempen kali ini.

"Saya boleh jangkakan apa yang dirancang Mario. Tiada yang berbeza apabila kembali bekerja dengannya. Dia seorang yang menyeronokkan dan mudah bekerjasama. Saya sering ditanya siapakah jurufoto paling digemari dan sudah semestinya Mario Testino.

"Dia amat menghormati kru dan saya gembira dapat bekerja dengannya. Dia sentiasa mengambil berat semua yang terbabit dan mempunyai pasukan hebat. Walaupun pada awalnya keadaan cuaca tidak begitu baik, dia berupaya menaikkan semula semangat kami dan tidak pernah panik dengan apa yang berlaku," jelas Gandy.

Selain Testino, keserasiannya dengan Bianca di set penggambaran turut menjadi bualan. Ikuti temu bual eksklusif seterusnya bersama satu-satunya model lelaki yang dicalonkan bagi kategori Model Sepanjang Tahun di Anugerah Fesyen British, baru-baru ini.

SOALAN (S): Ceritakan lebih lanjut mengenai haruman Light Blue untuk lelaki yang dilancarkan baru-baru ini. Apakah perbezaannya dalam edisi kali ini?

JAWAPAN (J): Ia haruman baru yang bertindak sebagai kesinambungan kepada portfolio Light Blue sedia ada. Light Blue Discover Vulcano amat segar dan moden serta lebih mewah baunya berbanding edisi tahun terdahulu.

Saya sukakan baunya yang lebih bertenaga dengan aroma sitrus yang secara peribadinya paling saya gemari. Ia benar-benar menyerlahkan daya musim panas yang segar dan seksi. Ia membawa saya kembali ke lautan dan pantai.

S: Bagaimana anda huraikan Light Blue Dicover Vulcano ini dalam tiga patah perkataaan?

J: Segar, maskulin dan cergas.

S: Apakah memori yang dibangkitkan oleh haruman baru ini?

J: Bagi saya, Discover Vulcano berjaya membawa saya kembali ke memori musim panas, berada di pantai dan di kelilingi lautan. Harumannya segar dan berupaya membawa semula memori saya kepada pulau sekitar Itali.

Saya pernah bercuti di beberapa pulau di Itali dan suasana tenang itu memang sukar dilupakan.

S: Haruman ini diilhamkan dari pulau Panarea (untuk haruman wanita) dan Vulcano jadi apakah keistimewaan di pulau Mediterranean ini?

J: Dua pulau ini adalah salah satu mercu tanda kepada keindahan semula jadi Itali. Pulau di Itali secara keserluruhannya penuh magis-alam sekitar, struktur dan penduduknya. Saya rasa pulau Panarea dan Vulcano khususnya menonjolkan semua elemen ini dalam cara tersendiri.

Ia pilihan terbaik menjadikan Vulcano sebagai simbol bagi mewakili haruman lelaki kerana landskapnya yang lebih kasar dan berbukit-bukau sementara Panarea lebih kepada gaya nakal wanita.

S: Bilakah masanya yang sesuai untuk anda semburkan haruman Light Blue ini?

J: Haruman Light Blue ini sesuai untuk semua acara, dari siang ke malam. Tapi saya sentiasa kaitkannya dengan musim panas. Ia segar yang membuatkannya mudah digunakan kerana baunya tidak terlalu kuat.

Yang pasti, ia mampu menarik perhatian. Apabila orang lain berbau harum dan saya berikan komen mengenai haruman itu, mereka sering katakan ia adalah Light Blue. Kadangkala saya sendiri tidak cam baunya kerana ia berubah mengikut pada tubuh si pemakai.

S: Ini adalah kempen Dolce & Gabbana terkini anda. Bagaimana rasanya kembali bekerja bersama jenama ini selepas beberapa kempen terdahulu?

J: Tanpa Dolce & Gabbana dan Light Blue saya tidak akan sampai ke tahap seperti hari ini. Jadi saya terhutang budi dengan Dolce & Gabbana dan Light Blue yang membantu saya berada di posisi hari ini.

Saya memang meminati pereka dan jenamanya, malah saya bertuah kerana dapat mengatakan bahawa Domenico dan Stefano (tunjang utama Dolce & Gabbana) adalah antara kenalan rapat saya.

Bagi saya, mereka simbol usaha gigih, kreatif dan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Buktinya dari pentas peragaan hinggalah kepada kempen saban musim mereka peneraju dalam industri fesyen.

Untuk kempen ini, ia berjaya memperlihatkan cinta mereka pada Mediterranean. Ia santai, bersahaja namun masih ada ciri mewah dan klasik.

S: Biasanya ketika memilih haruman, apakah yang anda harapkan pada sebotol haruman itu?

J: Saya sukakan haruman yang baunya tahan lama. Saya juga sukakan bauan berani dengan sentuhan segar. Haruman yang segar dan bertenaga paling sesuai bagi saya terutamanya untuk pemakaian pada waktu siang.

S: Adakah anda memakai pewangi setiap hari atau pada acara tertentu?

J: Bagi saya, menyembur pewangi itu adalah antara perkara utama dan penting dalam rejim penjagaan diri setiap hari. Apabila ada yang memberi komen mengenai haruman saya, ia membuatkan saya rasa lebih berkeyakinan.

S: Bagaimana pula dengan rejim penjagaan wajah dan diri anda?

J: Rejim saya mudah dan ringkas. Disebabkan banyak bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, kulit saya jadi sangat kering dan penting untuk menggunakan pelembap berkualiti.

Tidak kira di mana atau berapa lama tempoh masa yang saya ada, haruman memainkan peranan penting. Saya rasa tidak lengkap tanpa memakai jam dan menyembur haruman.

S: Bagaimana dengan fesyen? Adakah anda berminat secara serius dalam bidang itu?

J: Bekerja dalam industri fesyen dan dikelilingi mereka yang pakar dalam fesyen hampir setiap hari sedikit sebanyak mempengaruhi pandangan saya pada industri itu. Barisan pereka giat mencurahkan kreativiti dan tenaga untuk menghasilkan rekaan yang menepati kehendak serta matlamat tersendiri.

Anda tidak mampu mengelak daripada terbabit sama dan mengagumi hasil kerja mereka. Saya percaya Dolce & Gabbana adalah peneraju bagi kebanyakan rumah fesyen lain. Saya sendiri mempunyai aplikasi fesyen dalam telefon bimbit yang dicipta dua tahun lalu, The David Gandy Style.

Saya juga beberapa kali berada dalam senarai pakaian terbaik GQ dan di kedudukan 20 terbaik bagi kategori lelaki paling bergaya. Jadi saya rasa sedikit sebanyak industri fesyen itu mempengaruhi kehidupan saya.

S: Bagaimana pula dengan gaya pilihan anda?

J: Penampilan saya terarah kepada gaya British dan saya paling selesa menggayakan sut tiga keping yang mana kebanyakkan lelaki tidak faham dengan stail itu. Mengenakan sut, tali leher dan kombinasi kemeja adalah perkara paling mudah bagi saya, tapi malangnya ia jarang praktikal dengan apa yang saya lakukan setiap hari.

Boleh dikatakan saya agak utilitari (praktikal) dengan mengambil pengaruh gaya daripada Steve McQueen dan Paul Newman.

S: Pada pandangan anda, apakah definisi cantik pada seorang wanita?

J: Perkara paling menarik saya lihat pada seorang wanita sudah pasti gaya humor pada dirinya. Saya meminati wanita lucu dan tidak terlalu serius dengan dirinya. Itu saja kualiti yang saya cari pada seorang wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 6:08 AM