SENTUHAN jaringan Sherman (tengah) ditagih Sri Pahang FC apabila berdepan Negeri Sembilan di Temerloh. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
SENTUHAN jaringan Sherman (tengah) ditagih Sri Pahang FC apabila berdepan Negeri Sembilan di Temerloh. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC akan memastikan kehadiran Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh berakhir dengan kekecewaan apabila kedua-dua pasukan bertemu, petang esok.

Pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, perlawanan keempat skuad itu dalam saingan Liga Super itu dengan kembali meraih kemenangan diharap membantu melonjakkan kembali kedudukan.

"Sudah pasti Sri Pahang mahu memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri dengan mengutip tiga mata walaupun berlaku perubahan dalam senarai kesebelasan utama pasukan.

"Tanpa Ruziev Kuvondik yang tidak lagi bersama pasukan bukan alasan dan ia tidak menjejaskan persediaan skuad kerana pengganti di posisi tengah itu mampu digalas pemain lain.

"Bagi saya kami masih lagi memiliki beberapa pemain termasuk Saiful Jamaluddin untuk menyekat Negeri Sembilan daripada membawa pulang mata," kata legenda bola sepak Singapura itu.

Ditanya prestasi Kpah Sherman dan Mykola Ahapov, Fandi meminta dua penyerang import itu lebih tenang apabila berada di hadapan gawang lawan.

Katanya, teknik penyudah perlu diperkemaskan lagi untuk memastikan jaringan dapat dilakukan, sekali gus meletakkan skuad Tok Gajah pada prestasi terbaik.

"Banyak latihan sudah dilakukan tetapi bergantung kepada pemain. Namun, mereka perlu lebih tenang dan memperbaiki teknik penyudah dan pada masa sama perlu lebih rajin membuat latihan tambahan," katanya.

Selepas tiga perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ketujuh Liga Super dengan mengutip empat mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 3:50 PM