KU Mashariman (tiga dari kiri) bersama Timbalannya, Ahmad Firdaus (dua dari kiri) serta pegawai kanan polis daerah ketika lawatan ke Balai Berita, Jalan Riong. FOTO Osman Adnan
KU Mashariman (tiga dari kiri) bersama Timbalannya, Ahmad Firdaus (dua dari kiri) serta pegawai kanan polis daerah ketika lawatan ke Balai Berita, Jalan Riong. FOTO Osman Adnan
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Pimpinan tertinggi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields hari ini mengadakan kunjungan hormat dan lawatan ke Balai Berita The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Jalan Riong, Bangsar, di sini, hari ini.

Diketuai Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, pertemuan bersama pengurusan tertinggi Media Prima Berhad (Media Prima) itu berlangsung selama hampir dua jam.

Ku Mashariman berkata, lawatan pihaknya bersama empat pegawai yang lain adalah bagi melihat aspek keselamatan terutama apabila kakitangan Media Prima di Sri Pentas, Bandar Utama akan berpindah ke Balai Berita.

"Menjadi tanggungjawab polis untuk melihat faktor keselamatan apabila perpindahan itu, kawasan ini sudah boleh dikatakan menjadi kawasan sasaran penting kepada keselamatan.

"Jadi, kita buat advance (mengawalkan) lawatan dan melihat bagaimana Media Prima hendak beroperasi di tempat ini nanti apabila keseluruhannya (semua kakitangan) sudah dipindahkan ke sini," katanya ketika ditemui pada lawatan itu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal.

Rombongan berkenaan disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Rafiq Razali, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima Rosli Sabarudin dan Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Azlan Abdul Aziz.

Hadir sama dalam pertemuan itu, Pengurus Besar Perkhidmatan Pentadbiran Korporat Kumpulan Media Prima Shahidir Hasbullah, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit dan Pengarang Eksekutif Kumpulan New Straits Times (NST) Sharanjit Singh.

Ku Mashariman bersama pimpinan tertinggi IPD Brickfields turut diberikan taklimat mengenai Syarikat Media Prima dan mengadakan lawatan ke tapak operasi studio baru.

Mengulas lanjut, Ku Mashariman berkata, lawatan berkenaan penting bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat perancangan lebih awal selain memperkemaskan lagi tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

"Kedudukan lokasi Media Prima ini di bawah pentadbiran Balai Polis Pantai.

"Jadi saya bawa Ketua Polis Balai untuk melihat, mengenali area study (kawasan kajian) supaya selepas ini apa jua isu keselamatan di Media Prima ini adalah di bawah bidang Ketua Polis Balai Pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 3:36 PM