SARINGAN HIV.
SARINGAN HIV.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa pihak berkuasa dan universiti meneliti secara mendalam cadangan mewajibkan ujian saringan HIV kepada pelajar baharu.

Ini kerana mewajibkan ujian saringan HIV berpotensi menimbulkan stigma dan diskriminasi terhadap pelajar yang didapati positif dan boleh beri kesan buruk terhadap kesejahteraan mental dan emosi mereka.

Naib Presiden Siswa GPMS, Danial Alimin berkata, pihaknya mengambil maklum peningkatan kes HIV dalam kalangan kelompok usia 18 hingga 25 tahun namun langkah yang dicadangkan memerlukan penelitian rapi dan berhemah.

Sekiranya ujian saringan HIV diwajibkan, Danial berkata, maklumat hasil ujian itu mestilah dijamin kerahsiaan dan tidak tersebar atau dibongkar kepada umum.

"Sebaliknya, GPMS menyarankan supaya usaha lebih difokus kepada pendidikan kesihatan yang komprehensif dan program kesedaran mengenai HIV/AIDS dalam kalangan pelajar.

"Pendidikan yang menyeluruh ini boleh membantu pelajar memahami risiko, cara pencegahan dan kepentingan bagi menjalani ujian saringan secara sukarela," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Danial berkata, GPMS juga mencadangkan supaya pihak universiti mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang mesra pelajar dan menyediakan sokongan psikososial kepada mereka golongan memerlukan.

Katanya, GPMS juga bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dan universiti dalam merangka serta melaksana program yang dapat menangani isu HIV/AIDS secara berkesan tanpa menjejaskan hak dan martabat pelajar.

"Kami yakin pendekatan berasaskan pendidikan dan sokongan menyeluruh adalah lebih berkesan dalam jangka panjang bagi mengurangkan kes HIV dalam kalangan pelajar.

"Sehubungan itu GPMS menyeru semua pihak bagi bersama-sama memainkan peranan dalam memupuk kesedaran dan memahami isu ini dengan lebih mendalam," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi di Parlimen mendedahkan peningkatan membimbangkan kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar berumur 18 hingga 25 tahun di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, seramai 214 pelajar dari institusi awam dan swasta dilaporkan menghidap HIV pada 2020 diikuti 186 kes (2021), 221 kes (2022) dan 244 kes (2023).

Menerusi laporan media, Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC), Dr Dinesh Mahalingam berkata, kerajaan disaran menurunkan had usia saringan HIV dari 18 tahun kepada 16 tahun bagi memberi ruang pengesanan dan rawatan awal susulan peningkatan kes jangkitan virus itu dalam kalangan pelajar universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 3:37 PM