SEBUAH gudang yang diserbu kerana disyaki menyeleweng minyak diesel secara haram di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam. FOTO ihsan KPDN
SEBUAH gudang yang diserbu kerana disyaki menyeleweng minyak diesel secara haram di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam. FOTO ihsan KPDN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana disyaki menyeleweng minyak diesel secara haram, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, kes itu diserahkan PGA kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati gudang itu adalah pemegang lesen borong barang kawalan namun disyaki menjual barangan kepada pihak yang tidak diberi kebenaran untuk membeli.

"Serbuan dilakukan pada jam 6 pagi turut menemui treler tanpa muatan bernombor pendaftaran Thailand yang sedang membuat pengisian diesel.

"Pemeriksaan terhadap lori treler itu juga mendapati terdapat tangki tambahan yang diubah suai untuk menyimpan barang kawalan iaitu diesel.

"Berikutan itu, pasukan serbuan turut menyita kira-kira 1,688 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM5,654.80 serta lori treler terbabit. Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM105,654.80," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Nizam berkata, seorang lelaki tempatan dan lelaki warga Thailand berusia lingkungan 20-an yang disyaki terbabit dengan aktiviti penyelewengan itu ditahan untuk diambil keterangan.

Beliau berkata, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra dan menerima perintah reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi syarikat pula sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," katanya.

Beliau berkata, KPDN memberi amaran keras kepada semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi supaya sentiasa mematuhi perundangan.

"Pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya melalui saluran seperti Portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, emel [email protected] dan aplikasi EZ ADU KPDN.

"Selain itu, maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 dan Pejabat KPDN Kedah 04-7001745," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 3:40 PM