SUT Korduroi yang menyerlahkan gaya tersendiri jejaka.
SUT Korduroi yang menyerlahkan gaya tersendiri jejaka.
BEG sandang jenama Balmain antara rekaan yang diminati jejaka moden hari ini
BEG sandang jenama Balmain antara rekaan yang diminati jejaka moden hari ini
ELEMEN monokrom.
ELEMEN monokrom.
GELANG tangan sebagai aksesori pelengkap gaya jejaka.
GELANG tangan sebagai aksesori pelengkap gaya jejaka.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Setiap kali musim berganti, semua jenama fesyen berlumba menghasilkan rekaan terbaru untuk memenuhi permintaan pasaran.

Untuk jejaka misalnya, meskipun keperluan fesyen mereka tidaklah serumit mana namun bukan bermaksud kaum Adam tidak boleh tampil bergaya seperti wanita.

Bagi pemerhati fesyen antarabangsa, terdapat beberapa aksesori dan rekaan fesyen yang perlu jejaka miliki penghujung tahun ini sebelum tibanya musim baru. Antaranya:

1. Sut korduroi

Jika anda sedang mencari sut baru untuk meningkatkan gaya selain membantu memberi kehangatan sepanjang musim luruh/sejuk ini, material jenis korduroi adalah antara yang terbaik untuk dimiliki. Selain itu, ia juga tidak terlalu mahal dan tampak ada kelainan bila menggayakannya.

2. Tali leher jalur kecil

Tali leher dengan corak jalur kecil sama ada mendatar sempurna atau simetri menarik pernah popular sebelum ini. Tidak kira dipakai ketika di pejabat atau majlis semi formal, evolusi gaya kecil seperti ini menyerlahkan perbezaan pada penampilan anda.

3. Kot atau jaket terang

Kadang-kadang bukan iluminasi fesyen yang menentukan sesuatu rekaan kena dengan persekitaran sebaliknya cuaca itu sendiri.

Jika berkunjung ke negara yang mengalami musim sejuk, kot atau jaket parka rona terang kini sudah menjadi aliran fesyen yang popular.

Tidak hairanlah jika label popular juga tidak ketinggalan menyelitkan rekaan parka terang dalam himpunan mereka untuk musim luruh/ sejuk kali ini.

4. Pakaian corak petak

Pakaian dengan corak petak kini bukan lagi sinonim dengan fesyen di Wall Street sebaliknya ia turut menjadi kegilaan jejaka moden.

Gaya ala 'gengster' ini menyerlahkan sisi berlainan jejaka yang berani mahukan penampilan baru.

5. Elemen monokrom

2014 menyaksikan ramai selebriti Barat berani tampil dengan persalinan rona senada dari atas ke kaki. Tolak ke tepi penyanyi popular seperti P Diddy atau Jay Z yang sememangnya gemar memakai pakaian senada kerana ramai lagi turut menyukai fesyen seperti itu.

Label popular seperti Gucci, Givenchy dan Tom Ford juga tidak ketinggalan menyediakan rekaan yang menyelitkan elemen berkenaan. Tidak kira rona hijau gelap, merah pekat atau putih, semuanya dapat memberi gaya tersendiri kepada pemakainya.

6. Kasut putih

Sebelum ini, kasut berwarna putih (tidak kira apa jenisnya) hanya digemari golongan tertentu saja. Tetapi kini, ia bagaikan sudah menjadi keperluan bagi setiap jejaka terutama yang gemarkan gaya trendy.

Tidak kira digayakan bersama denim gelap atau sut, kasut berkenaan mampu menyerlahkan lagi cita rasa anda dalam berfesyen. Antara label yang boleh dijadikan pilihan ialah Lanvin, Ami dan Marc Jacobs.

7. Inovasi pakaian sukan

Masyarakat sudah biasa dengan kehadiran jejaka yang santai berjalan dengan mengenakan jersi dan topi pasukan digemari. Namun kini, label fesyen popular seperti Givenchy turut menampilkan rekaan berdasarkan gaya atlit.

Antara fesyen yang menjadi pilihan ialah gaya atlit sukan trek dan balapan, bola sepak, hoki dan parkour.

8. Beg sandang pereka ternama

Bergaya dengan beg sandang bukan lagi pilihan untuk pelajar saja kerana golongan eksekutif muda hari ini turut meminatinya.

Cuma, apa yang berbeza adalah cita rasa kerana jejaka moden masa kini menggemari rekaan unik daripada label dan pereka terkenal.

Ada yang menggemari beg polos tanpa hiasan dan ada juga memilih motif abstrak atau geometri.

Jadi, apa salahnya melabur sedikit wang untuk mendapatkan beg sandang yang bukan saja berkualiti malah mampu membuatkan anda dipandang 'tinggi' oleh rakan-rakan.

9. Gelang penambah gaya

Memakai aksesori seperti gelang yang mempunyai lambang tertentu kini dikatakan menjadi kegemaran ramai lelaki. Mereka berpendapat, gelang seperti perak dengan cetakan nama atau kata-kata tertentu boleh menyerlahkan lagi identiti seseorang.

Jika berkemampuan, gelang daripada jenama terkenal seperti Cartier, Giles & Brother atau George Frost boleh dijadikan pelengkap penampilan.

10. Kot dan jaket Shearling

Kot atau jaket 'Shearling' diakui antara pakaian yang mahal dan hanya golongan berada saja mampu memilikinya.

Ia menggunakan material kulit lembu dan dikatakan mampu membantu pemakainya berasa hangat dan selesa meskipun berdepan dengan cuaca sejuk yang melampau.

Antara label yang turut mengetengahkan rekaan kot jenis ini ialah Emporio Armani, Bally, Dior Homme dan Dolce & Gabbana.

11. Jaket gabungan imej tentera

Jaket ala tentera sememangnya diminati lelaki di seluruh dunia kerana ia dikatakan menyerlahkan keperibadian lasak yang mereka miliki.

Justeru, tidak hairanlah jika label seperti Maison Kitsune, Michael Bastian dan Tim Coppens turut menyelitkan elemen tentera ini dalam rekaan jaket terbaru mereka.

Gabungan elemen tentera dan fesyen terkini jelas menyerlahkan lagi keunikan citarasa yang jejaka miliki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:01 AM