EZUWAN pereka pertama di Malaysia perkenal perhiasan berbentuk tampalan pada busana.
EZUWAN pereka pertama di Malaysia perkenal perhiasan berbentuk tampalan pada busana.
Siti Zarinah Sahib

Menyoroti helaian demi helaian busana digayakan barisan model bersempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2017 (KLFW), bagi pereka Ezuwan Ismail, apa yang dipersembahkan di ruang tengah pusat beli-belah Pavilion itu sesuatu yang unik dan berbeza.

Menampilkan 12 rekaan sedia dipakai bertemakan Koleksi Cruise 2017 setiap satunya mempamerkan kelainan dari segi perincian buatan tangan yang mempesonakan.

Jelas Ezuwan, rekaan kali ini adalah kesinambungan daripada koleksi Aidilfitri lalu dan selepas mengembara ke beberapa negara, lahirlah ilham menghasilkan potongan istimewa untuk dipersembahkan pada KLFW kali ini.

“Saya mencipta aliran berbeza dengan mengetengahkan perhiasan berbentuk tampalan pada setiap busana. Setiap satunya dijahit tangan dengan teliti bagaikan tiada cacat celanya. Konsep sebegini yang pertama diperkenalkan di Malaysia untuk rekaan sedia dipakai. Sudah pasti saya gembira kerana menjadi pereka pertama yang memperkenalkan rekaan sebegini,” katanya.

Mengambil inspirasi daripada rekaan pereka tersohor dunia, jelasnya di negara Barat label terkenal seperti Gucci, Zara, Dolce & Gabbana sudah memasarkan himpunan sedia dipakai berkonsepkan tampalan pada busana mereka. Ia cukup mendapat perhatian dan menjadi antara pilihan sama ada lelaki atau wanita.

Memilih fabrik berkualiti seperti crepe, sutera dan tweet sebagai asas rekaan digabungkan dengan renda dan net bagi memberikan gaya segar serta bersahaja, namun menonjolkan impak berbeza bagi si pemakai.

“Fabrik tweet banyak digunakan jenama Chanel untuk gaun serta koleksi blaus dan skirt. Untuk KLFW kali ini saya menggunakan hampir 100 peratus tweet untuk gaun dan jaket yang memberikan kesan mewah kepada penggemarnya,” katanya.

Bijak dalam pemilihan rona bagi membangkitkan aura tersendiri, untuk koleksi pertama dia menghidangkan rekaan berasaskan warna kulit pada gaun mewah dan jumpsut dengan perincian tampalan flora dan fauna pada bahagian atas baju. Gaun singkat dengan layah kembang fabrik net memberikan sesuatu yang memukau kepada penonton.

Untuk sesi kedua Ezuwan mempersembahkan rekaan berwarna-warni dengan rona biru pada gaun labuh disertakan perincian pada dada dan pinggang. Kesannya ia bukan saja memberikan kelainan, tetapi mampu menambat hati pelanggan terutama mereka yang sentiasa menantikan rekaan eksklusif dan tersendiri. Semua koleksi Cruise 2017 boleh didapati di butik Ezuwan Ismail pada harga RM2,500 ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 1:56 AM