Pelajar Kolej Vokasional Menang Anugerah Penulis Terbaik Artikel Editorial Bahasa Inggeris
Pelajar Kolej Vokasional Menang Anugerah Penulis Terbaik Artikel Editorial Bahasa Inggeris
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Pelajar tahun tiga jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah melakar kejayaan selepas memenangi anugerah penulis terbaik artikel editorial Bahasa Inggeris, 30 Jun lalu.

Azzulfa Haryani Mohd Azri menerima anugerah penulis terbaik melalui artikelnya yang bertajuk 'Nip It in the Bud' dari kolej pengajian tinggi, STKIP PGRI Pacitan, Indonesia.

Artikel itu diterbitkan di majalah digital E-Magz edisi Jun 2024 keluaran kolej berkenaan.

Ia terpilih sebagai artikel terbaik kerana berjaya mengupas topik yang penting iaitu isu buli di kalangan murid dan pelajar sekolah selain menepati tema majalah edisi Jun iaitu hari perlindungan kanak-kanak sedunia.

Karya Azzulfa mengulas isu buli yang kian menular di sekolah dan menyifatkan media sosial sebagai satu faktor utama yang mengakibatkan perbuatan ini semakin menjadi gejala yang merisaukan ramai pihak.

Azzulfa berpendapat media sosial menjadi satu saluran yang disalahgunakan untuk mengeluarkan kata kesat dan berbaur penghinaan yang kadangkala ditujukan khas untuk individu tertentu tanpa rasa bersalah, malu dan segan.

Azzulfa menyokong hujahnya dengan mengambil contoh satu kes buli melibatkan beberapa remaja sebuah sekolah di negara ini yang mendapat liputan luas media massa dan turut menegaskan kepentingan penerapan nilai murni dan disiplin dalam pendidikan masa kini.

Sementara itu, pengarah kolej berkenaan, Nordin Akup turut mengucapkan tahniah kepada Azzulfa dan berharap kejayaan itu menjadi galakan kepada pelajar lain untuk meningkatkan kemahiran bahasa dan kemahiran berfikir aras tinggi mereka melalui penulisan artikel yang bersifat ilmiah. Selain Azzulfa, tiga lagi pelajar kolej terbabit yang menulis artikel editorial dan diterbitkan dalam majalah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 3:25 PM