GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Kedah yakin proses perundangan seterusnya berhubung isu penutupan premis judi di negeri ini akan membawa sinar dan harapan dengan natijah positif kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri negeri, Mansor Zakaria berkata, pihaknya berdiri teguh dengan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam mempertahankan keputusan dan tindakan diambil kerajaan negeri berhubung penutupan premis judi di negeri ini.

Ini kerana katanya, keputusan itu dibuat dengan mengikut tatacara dan proses perundangan sewajarnya termasuk rundingan turut dijalankan dengan pihak lain seperti iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kewangan (MOF) selaku pengeluar lesen perjudian Persekutuan.

"Jawatankuasa ini mengambil segala langkah yang perlu mengikut prinsip dan tatacara undang-undang dan perlembagaan sebelum keputusan penutupan premis judi di negeri ini dibuat.

"Tempoh masa cukup lama juga diberikan bermula pada tarikh keputusan tidak membenarkan operasi premis judi dilaksanakan di Kedah diumumkan hingga ia dikuatkuasakan.

"Menteri Besar membuat pengumuman pada 14 November 2021 bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan premis judi beroperasi di Kedah hingga tarikh terakhir pada 31 Disember 2022," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan tindakan pihak yang menentang keputusan kerajaan negeri tidak lagi meluluskan lesen premis judi di Kedah.

Beliau berkata, sebagai pemimpin, beliau sudah melaksanakan tanggungjawab untuk patuh pada perintah Allah yang mengharamkan kegiatan judi.

Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu, membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.

Mansor berkata, tindakan itu dikuatkuasakan secara berperingkat dengan tidak meluluskan lesen premis judi yang baru selain tidak memperbaharui lesen premis yang tamat tempoh.

"Selaku pihak yang mengawal dasar kerajaan negeri dalam pelaksanaan tindakan berkenaan, Pejabat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri Kedah menyanjung tinggi ketegasan Menteri Besar Kedah dalam mempertahankan keputusan dibuat bahawa kuasa untuk memberi lesen, membenarkan atau tidak membenarkan operasi premis judi adalah di bawah bidang pihak berkuasa tempatan (PBT) ataupun kerajaan tempatan.

"Sehubungan itu, kami akur bahawa proses rayuan untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan mahupun peringkat yang lebih tinggi adalah diperlukan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersedia mempertahankan prinsip pembahagian kuasa sebagaimana yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 3:16 PM