STEINBRUCKNER idam final Piala FA musim ini. FOTO GHAZALI KORI
STEINBRUCKNER idam final Piala FA musim ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menegaskan pasukannya berada pada landasan terbaik untuk mara ke pentas final Piala FA musim ini.

Beliau berkata, biarpun beraksi di tempat sendiri terlebih dahulu pada perlawanan separuh akhir pertama, kejayaan membelasah Sabah FC dengan agregat 7-0 pada aksi suku akhir memberikan motivasi berharga buat pemainnya.

Kata bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd itu, persiapan yang rapi bermula awal musim selain majoriti pemain yang cedera sudah kembali pulih menambah lagi kekuatan pasukannya.

TFC bakal melayani kunjungan Selangor FC terlebih dahulu pada 19 Julai ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebelum bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 3 Ogos depan untuk aksi separuh akhir kedua.

"Bagi saya tiada masalah beraksi di tempat sendiri terlebih dahulu atau sebaliknya biarpun bertemu dengan pasukan dan pemain antara yang terbaik ketika ini dalam Liga Malaysia (Liga M).

"Ini kerana anak buah kami sentiasa bersedia untuk memberikan persembahan yang terbaik untuk mara ke pentas final lebih-lebih lagi beberapa pemain yang sebelum ini tersisih akibat kecederaan sudah kembali bersama pasukan.

"Lebih memberikan motivasi kepada pemain kejayaan dengan agregat yang besar menumpaskan Sabah FC juga turut menjadi elemen penting buat pasukan untuk menewaskan Selangor FC nanti.

"Bagaimanapun pesanan buat semua pemain, dalam sukan bola sepak pelbagai kemungkinan boleh terjadi, jadi fokus sepenuhnya ketika sesi latihan dan perlawanan adalah antara kunci kejayaan," katanya ketika dihubungi.

Musim lalu naib juara Piala Malaysia itu terkandas pada peringkat separuh akhir saingan Piala FA selepas tumpas kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dengan penentuan sepakan penalti 4-2 selepas kedudukan hingga tamat masa tambahan terikat tanpa jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 3:42 PM