LUKANISMAN Awang berucap pada majlis perasmian Kongres ASEAN ke-13 dan Kongres Penjagaan Kesihatan Perak ke-10 di Ipoh. FOTO L Manimaran
LUKANISMAN Awang berucap pada majlis perasmian Kongres ASEAN ke-13 dan Kongres Penjagaan Kesihatan Perak ke-10 di Ipoh. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Insiden Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengalami semput atau sesak nafas ketika memulakan sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, Rabu lalu, disebabkan masalah kecergasan bukan implikasi penyakit serius seperti serangan jantung.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, bagaimanapun insiden itu dianggap dapat 'membuka mata' masyarakat termasuk semua Ahli Parlimen untuk melakukan saringan kesihatan.

Lukanisman berkata, Anthony ketika itu dalam keadaan tergesa-gesa berikutan terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas dan terlalu mengejar masa untuk memasuki Dewan Rakyat bagi menjawab soalan lisan yang diajukan kepadanya selaku Menteri Pengangkutan.

"Tempoh masa untuk dia menjawab sudah dekat dan sampai saja ke lobi Parlimen dia terus 'rush' (tergesa-gesa) ke Dewan dan kebetulan dia sesak nafas. Jadi ia tidak berkaitan dengan serangan jantung, ia hanya mengenai kecergasan.

"Perkara ini pernah ditegaskan oleh Tan Sri Speaker (Tan Sri Johari Abdul) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa ianya mandatori bagi Ahli Parlimen menjalani saringan kesihatan untuk memudahkan dapat rawatan. Sebab ada beberapa insiden turut berlaku dalam Dewan Rakyat daripada mula sidang Parlimen yang ke-15.

"Insiden yang berlaku kepada Menteri Pengangkutan ini membuka mata kepada masyarakat umum agar masing-masing memainkan peranan menjaga kesihatan. Ia tidak membabitkan masalah jantung, kalau kita sudah berkejar-kejar menyebabkan kita tercungap-cungap," katanya selepas merasmikan Kongres Asean ke-13 dan Kongres Kesihatan Perak ke-10, di sini, hari ini.

Lukanisman berkata, KKM sentiasa menggalakkan amalan meningkatkan kecergasan seperti aktiviti berjalan 10,000 langkah sehari termasuk dalam kalangan peneraju tertinggi pentadbiran kerajaan yang kebiasaannya jadual harian padat dengan aktiviti.

"Salam dua tiga jam atau tempoh yang lama kita bermesyuarat, maka kita bersenam sedikit dalam tiga ke empat minit dan Yang Berhormat Menteri (Kesihatan) pun amalkan ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan sidang Dewan Rakyat Rabu lalu sedikit cemas apabila Anthony kelihatan tidak selesa dan percakapannya tersekat-sekat ketika memulakan sesi jawab lisan sebelum tiba-tiba batuk, tercungap-cungap dan memohon diberikan sedikit masa untuk menenangkan dirinya.

Keadaan itu dilapor menyebabkan Loke diminta berehat dan menggesa menjalani pemeriksaan di hospital, dengan beliau dilihat menepuk dadanya beberapa kali sambil memberi isyarat kepada timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah untuk meneruskan sesi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 3:22 PM