Intan Mas Ayu Shahimi

Romantik dan berani. Kemilau perincian koleksi busana pengantin La Dolce Amore rekaan Hasfitri Yusof benar-benar mencuri perhatian ketika digayakan di pentas peragaan The Wedding KL 2018, baru-baru ini.

Mengambil inspirasi daripada drama bersiri Filipina, Dolce Amore, Hasfitri menterjemahkan kembali fasa percintaan merpati sejoli dan keindahan bumi Itali dalam setiap rekaannya.

Bagaimanapun, katanya, koleksi itu diadun dengan konsep dan trend rekaan musim luruh/sejuk 2018 bagi pereka di Barat. Ia bangkit daripada cetusan idea bunga sakura dan origami serta lipatan yang menghasilkan rekaan ringkas tetapi mewah, bersesuaian dengan trend fesyen tahun ini.

Melihat keseluruhan koleksi pengantin 2018, Hasfitri Yusof Kuala Lumpur (HYKL) banyak bermain dengan gabungan kelopak bunga rona merah jambu dan krim untuk menonjolkan kesan tiga dimensi (3D).

Perincian sarat itu gabungkan dengan taburan batu kristal, bulu burung unta dan siluet moden untuk menyerlahkan lagi konsep busana pengantin mewah. Tidak terlalu terikat dengan potongan duyung yang sering menjadi kegilaan pengantin di Malaysia, Hasfitri menyuntik penggunaan siluet seksi dengan potongan lurus, beralun.

Menurut Hasfitri, dia teruja mengetengahkan unsur seksi dan moden yang digabungkan dengan potongan lurus mengikut bentuk badan serta dipadankan leretan gaun di belakang, menampakkan pengantin lebih tinggi dan langsing.

“Koleksi ini menawarkan busana potongan moden yang segar untuk pengantin menampilkan gaya lebih berani dan tidak terikat dengan rekaan tradisional. Paling utama, perincian kali ini sebenarnya lebih istimewa kerana dihasilkan sempena enam tahun HYKL dalam industri fesyen tanah air. Setiap rekaan yang saya bawakan menggambarkan perjalanan dan olahan baru untuk persediaan musim ini.

“Selain itu, rekaan busana pengantin kali ini juga menonjolkan gaya mewah yang selalu menjadi dambaan ramai wanita moden kini. Kami sengaja memilih rona champagne, putih, merah jambu, biru Tiffany, merah dan hijau zamrud untuk memberikan lebih pilihan berani kepada pengantin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 12:01 AM