YUSRY. FOTO BERNAMA
YUSRY. FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Luar Negeri (KLN), dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) bekerjasama untuk mengembangkan kemahiran dan kecekapan bakat dalam industri kewangan Islam menerusi penganjuran program Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam (Aqif).

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, program Aqif, yang dikendalikan menerusi Kelas Global IBFIM, bertujuan menyediakan kerangka pembelajaran sepanjang hayat yang progresif dan tersusun untuk profesional dalam industri kewangan Islam.

"Kami amat berbesar hati diberi mandat oleh KLN bagi menjalankan program Aqif di bawah inisiatif MTCP (Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan amat mengalu-alukan penyertaan delegasi dari Turkmenistan, Azerbaijan, Filipina dan Brunei.

"Sejajar dengan objektif sebagai institusi pembelajaran sepanjang hayat, kami sukacita kerana diberi peluang untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran Malaysia dalam pelbagai bidang kewangan Islam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kerjasama antara KLN dan IBFIM ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif untuk mendukung agenda nasional bagi menempatkan Malaysia sebagai pusat pendidikan perbankan dan kewangan Islam di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 hingga 2025.

Beliau berkata, sejak dilaksanakan pada 2011, terdapat seramai 3,451 pemegang kelayakan Aqif.

"Ia amat memberangsangkan melihat jumlah pemegang kelayakan Aqif meningkat setiap tahun di Malaysia dan juga di luar negara.

"Ini adalah salah satu inisiatif IBFIM untuk memastikan ketersediaan aliran bakat yang kompeten dan serba boleh bagi menyokong inovasi dan dinamisme industri kewangan Islam yang lebih menyeluruh di peringkat tempatan dan global," katanya.

Aqif akan bermula 14 hingga 18 Jun 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 5:44 PM