ADNAN Zaylani Mohamad Zahid. FOTO arkib NSTP
ADNAN Zaylani Mohamad Zahid. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) bakal menjalinkan bekerjasama dengan University of Cambridge Institute for Sustainability Leadership (CISL) dalam program pendidikan eksekutif berkaitan kepemimpinan lestari untuk industri kewangan Islam.

Program Kelestarian Kepimpinan untuk Institusi Kewangan ini akan diadakan pada 14 hingga 15 Julai ini dan dirasmikan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, tiga kumpulan pembelajaran akan mengikuti program ini.

Menurutnya, kumpulan pertama bakal dihadiri 32 peserta daripada 17 institusi perbankan Islam yang terdiri daripada ahli lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif dan pegawai pengurusan kanan.

"Program ini dianjurkan bagi menyokong komitmen oleh Komuniti Pengamal (COP) Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).

"IBFIM yakin program eksklusif oleh CISL untuk industri kewangan Islam ini akan mendorong penerapan VBI dan memperkukuh peranan industri dalam memajukan masa depan yang lestari.

"Kami juga berterima kasih atas sokongan dan komitmen dari anggota VBI-COP dalam pembangunan program ini," katanya dalam kenyataan media.

Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif CISL, Claire Shine berkata, pihaknya sudah bekerjasama selama lebih dari 30 tahun bersama pemimpin dalam bidang perniagaan dan kewangan, pembuat dasar dan masyarakat umum.

Katanya, ia bagi membantu golongan ini memahami dan menangani cabaran global yang kritikal serta menggunakan pengetahuan dan jaringan sedia ada sebagai perantara bagi memajukan konsep kelestarian.

"Kami juga berharap dengan kerjasama yang sedia ada bersama IBFIM dapat membantu institusi kewangan mengambil tindakan terhadap risiko dan peluang dalam era global yang berubah dengan pantas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 6:04 PM