MAN rindu untuk berlakon karya di kaca TV.
MAN rindu untuk berlakon karya di kaca TV.
Syafil Syazwan Jefri

JIWA seni sentiasa meronta-ronta untuk berkarya, namun dek kerana sepi daripada tawaran lakonan membuatkan pelakon dan pelawak, Man Raja Lawak terfikir nasibnya dalam bidang ini.

Memulakan langkah lakonan dan kerjaya sebagai pelawak menerusi program Raja Lawak 5 sehingga meraih gelaran juara, Man meneliti dan menganalisis sendiri kitaran kerjaya dalam bidang itu.

"Sebenarnya selepas selesai dengan Raja Lawak, ada tawaran kerja tak henti-henti. Kadang-kadang saya tengah berlakon pun ada yang hubungi dan tawarkan berlakon untuk drama dan sebagainya.

"Saya rasa, sebelum itu mungkin selepas saya menjuarai program itu, tak ada orang yang seperti saya. Mungkin ada Angah, tapi sebab Angah Raja Lawak 1 dan saya Raja Lawak 5, jadi dah ada orang baru selepas Angah.

"Mungkin selepas itu, muncul Shiro dan kemudian arwah Abam. Mungkin dari situ saya rasa dah ada pengganti dan pasaran dah luas. Bila saya tengok semula sekarang, saya cakap kepada isteri saya, tak banyak karya yang mengetengahkan pelawak," katanya.

Namun, bukan hanya dia, bahkan Man turut melihat nasib sama menimpa rakan-rakan seperjuangannya.

"Sebelum ini ada Achey, tapi dah kurang sikit. Kalau Zizan sekarang dia dah jadi pelakon 'versatile'. Jadi, pelawak ini macam dah tak ada dah. Dalam drama pun tak banyak dah ada pelawak.

"Mungkin dah tak macam dulu, jadi rebutan. Contohnya, ketika era Apek Senario, dia berjaya menggondol anugerah Artis Paling Popular. Kalau saya ada zaman itu, mungkin 'sedaplah' kita boleh pecahkan industri itu.

"Saya rasa bila ada kitaran begitu, tak boleh biarkan sebab nanti jadi lebih teruk. Jadi, apabila Mawi beri peluang membintangi filem Zim Zim Ala Kazim, ini jadi peluang kedua untuk saya. Sebelum ini ada telefilem Hantu Kuat Ketawa, satu watak berat juga untuk saya," katanya.

Menurutnya, usai lelah berfikir solusi untuk menyemarakkan lagu dunia komedi, dia akhirnya cuba akur dengan permintaan dan melencongkan bakatnya dalam lakonan untuk watak serius.

"Jadi, waktu itu saya rasa lawak dah tak boleh pergi dan saya cuba untuk bawa watak serius. Tapi, sama juga tak banyak tawaran. Kali ini dalam filem ini, saya bawa watak serius juga," katanya.

Bersyukur kerana tawaran lakonan filem masih diterima, Man juga tidak menafikan kerinduannya untuk berlakon dalam karya di TV.

"Selain filem ini, saya juga membintangi filem Saka Perawan dan Reeza, kedua-duanya arahan Ahmad Idham. Alhamdulillah.

"Tapi, untuk tawaran berlakon telefilem, drama bersiri atau sitkom tak ada. Dalam jadual yang ada pun untuk konsert, festival, program sekolah, masjid dan sebagainya, memang ada.

"Minat berlakon itu memang ada dan masih ada sehingga hari ini. Kadang-kadang kalau saya tonton drama di TV, saya selalu fikir kalau diminta saya berlakon untuk buat apa pun, saya akan buat. Tapi, belum rezeki saya," katanya.

Ditanya mengenai pendapatannya, Man bersyukur kerana semuanya masih dapat diuruskan dengan baik dan dalam lingkungan angka yang tidak terlalu merudum.

"Untuk kerja mengacara, memang saya buat dan berjalan seperti biasa. Alhamdulillah, pendapatan itu ada dan saya rasa ia tidak turun mendadak. Contohnya, kalau dulu pendapatan RM15,000, tak adalah sampai jatuh menjadi RM2,000," katanya.

Kini, Man juga antara selebriti yang aktif menggunakan platform TikTok untuk mencari rezeki.

"Di media sosial sekarang, ada macam-macam kandungan yang dihasilkan pelbagai lapisan usia. Video yang beria-ia pembikinannya, kadang-kadang hanya ada beberapa ratus tontonan. Tapi, video yang saya bercakap kata-kata puitis, dapat pula jumlah tontonan yang banyak.

"Tak sampai satu hari dan mencecah tiga juta tontonan. Jadi, orang Malaysia sekarang mungkin jiwa mereka memberontak. Jadi, sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati mereka," katanya.

Ditanya mengenai rutinnya, Man berkata, dia meluangkan masa satu hingga dua jam untuk mencari kandungan sesuai.

"Saya adalah artis sepenuh masa. Selepas Subuh, rutin saya selama sejam dua adalah untuk mencari kandungan sesuai untuk 'meletup' di TikTok.

"Contohnya, sebelum ini badan saya gemuk, kemudian dalam masa tiga bulan saya lakukan transformasi menjadi kurus dan sado. Waktu itu meletup sekejap. Waktu itu saya berlakon filem Ahmad Idham.

"Penjagaan makan, saya ikut cara saya sendiri tanpa sebarang suntikan atau apa. Hari-hari saya main di gimnasium sampai badan menjadi. Badan sahaja menjadi, tapi muka sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 6:20 AM