FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Dalam usaha untuk membangunkan modal insan kewangan Islam di peringkat global, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) telah menandatangani Memorandum Perjanjian bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei (UNISSA) bagi menawarkan program persijilan IBFIM iaitu Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam (AQIF) kepada pelajar dan tenaga pengajar UNISSA.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, kerjasama ini diharap dapat memacu perkembangan industri kewangan Islam di Brunei sebagai negara yang berada di kedudukan ke-15 teratas di antara institusi kewangan Islam dunia selaras dengan aspirasi negara Brunei untuk menjadi antara hab kewangan

Islam antarabangsa.

AQIF yang diakreditasi penuh oleh Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) juga telah mendapat

pengiktirafan dari Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) Brunei.

Wakil dari IBFIM dan UNISSA pada majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian bagi menawarkan program persijilan IBFIM iaitu Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam (AQIF).
Wakil dari IBFIM dan UNISSA pada majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian bagi menawarkan program persijilan IBFIM iaitu Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam (AQIF).

Memorandum Perjanjian ini adalah susulan Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani pada 2017, yang mana setakat ini telah menghasilkan sejumlah 19 graduan dan tiga pensyarah UNISSA dengan pensijilan AQIF.

"IBFIM dan UNISSA berkongsi aspirasi yang sama untuk melahirkan graduan terlatih dan mencapai tahap kebolehpasaran dalam kewangan Islam bukan sahaja di Brunei malah di peringkat antarabangsa.

"Melalui jalinan strategik ini, bukan sahaja program sedia ada dapat ditawarkan, tetapi akan

memberi peluang untuk program-program baru dibangunkan secara bersama khususnya dalam bidang-bidang seperti kelestarian, teknologi dan kewangan sosial.

"Kami berharap usaha ini juga akan mengeratkan lagi kerjasama di antara Malaysia dan Brunei," katanya.

Majlis yang berlangsung secara maya telah disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk

Raja Reza Raja Zaib Shah; Ahli Lembaga Pengarah IBFIM, Muhammad Fikri Mohamad Rawi, dan Rektor UNISSA, Dr Norarfan Zainal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 5:46 PM