VAPE.
VAPE.
Mohd Zaini Othman

PADA awal kemunculannya, ada yang memberi alasan bahawa menghisap rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape adalah sebagai 'ikhtiar' untuk meninggalkan tabiat menghisap rokok tembakau. Alasan keduanya, vape adalah rokok yang lebih 'sihat' kerana tidak menggunakan tembakau sebagai sumber penghasilan asap. Sememangnya vape atau pelbagai nama manjanya yang lain di pasaran seperti E-Cigs, mod, E-Hookahs, pod ataupun Vape Pen tidak menggunakan tembakau sebaliknya cecair kimia berperisa, tetapi masalahnya kebanyakan cecair ini mengandungi nikotin.

Penulis bukan seorang perokok, namun tidak dapat dinafikan, apabila vape mula muncul di pasaran suatu ketika dahulu, ia terus menjadi satu fenomena dan cepat menambat hati perokok tegar dan mereka yang baru mula berjinak-jinak menghisap rokok. Sebab utama beralih kepada vape, rata-ratanya memberi jawapan hampir sama seperti penulis nyatakan di awal tadi iaitu yang pertama, meyakini ia umpama rawatan alternatif untuk mengurangkan tabiat merokok; kedua, kurang berbahaya daripada rokok biasa dan ketiga, penjimatan kewangan kerana boleh diguna untuk tempoh masa yang panjang.

Satu fakta ulung yang harus dipegang bahawasanya sehingga kini, tidak ada dinyatakan dalam protokol perubatan yang menggariskan penggunaan vape sebagai satu kaedah dalam membasmi isu ketagihan serta keburukan rokok. Memetik kenyataan di lamab web Majlis Keselamatan Negara (MKN), vape boleh menjejaskan kesihatan kerana ia mempunyai nikotin yang cukup untuk merosakkan paru-paru dan antara bahaya lain akibat penggunaan yang berpanjangan adalah menurunkan sistem imunisasi badan; cecair vape mengandungi paras nikotin yang tinggi yang boleh mengakibatkan kematian; dan cecair vape mengandungi pelbagai perisa merbahaya dan menunjukkan sitotoksisiti (cecair yang mampu membunuh sel paru-paru, otak dan lapisan kulit) yang tinggi.

Tetapi bak kata pepatah 'harapkan pegar, pegar makan padi' begitulah kisahnya dengan vape ini kerana apabila inovasi ini berada di dalam pasaran, ia rupa-rupanya memberi kesan yang lebih membimbangkan. Kita letakkan kesan buruk kepada kesihatan di tepi dahulu, kesan lain yang tidak kurang memeningkan kepala adalah vape menjadi punca kepada peningkatan lebih ramai perokok baharu. Lebih dikesalkan, perokok baharu ini dalam kalangan usia yang masih mentah, di bangku sekolah rendah lagi.

Jadi tidak pelik dan menjadi suatu yang biasa dilihat, anak-anak kecil dan pelajar sekolah yang berada di bawah kategori bawah umur ini semakin berani dan tiada lagi segan silu menghembus asap rokok elektronik di khalayak awam atau sejengkal keluar dari luar pagar sekolah. Ditambah pula memiliki dan menghisap vape juga ibarat satu trend yang menjadi ikutan. Dari usia yang masih muda, pelajar sekolah, mahasiswa di institusi pendidikan tinggi, golongan profesional sehinggalah kepada Yang Berhormat sekalipun, tidak lekang dengan vape masing- masing.

Dengan asap dihembus berkepul-kepul malah boleh pula dibentuk-bentuk, baunya dalam pelbagai perisa, ditambah pula rupa fizikalnya pula ibarat sebuah gajet yang perlu dimiliki selain mudah dibeli secara dalam talian, ini umpama 'nilai tambah' yang menjadikan vape sebahagian daripada gaya hidup semasa. Jika disandarkan pada realiti data kajian, kewujudan vape seperti langsung tidak berjaya mengurangkan bilangan perokok dalam negara sebaliknya menambahkan lagi luka yang sudah sedia parah, inilah kebenarannya.

Memetik dapatan tinjauan yang dibuat oleh kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 yang melibatkan 4,269 responden, menunjukkan penggunaan vape meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus tahun 2023. Penggunaan vape dilihat meningkat 600 peratus dalam tempoh 12 tahun dengan golongan berusia 15 hingga 24 tahun adalah pengguna paling tinggi. GATS juga melaporkan pengguna rokok elektronik melibatkan lebih ramai orang muda dengan kumpulan usia 15 hingga 24 tahun yang meningkat kepada 8.6 peratus pada tahun 2023 berbanding 1.1 peratus pada 2011.

Laporan tinjauan tersebut turut mendedahkan kelompok dwipengguna rokok elektronik dan rokok tembakau meningkat kepada 3.9 peratus tahun lepas berbanding 0.8 peratus pada 2011 serta purata perbelanjaan rokok sebulan ialah RM178 bagi kategori nasional, RM195 bagi bandar dan RM136 bagi luar bandar.

Penulis mengharapkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang diwartakan pada Februari lalu dan dikuatkuasakan mulai Jun ini akan menjadi titik mula kepada pengawalan yang lebih berkesan terhadap penjualan dan penggunaan vape di Malaysia. Akta ini akan menguatkuasakan undang-undang larangan jualan rokok elektronik atau vape kepada individu di bawah umur dan melalui akta ini pastinya yang ingin lebih dilihat adalah kesannya kepada penurunan penggunaan rokok dan vape dalam kalangan rakyat Malaysia.

Namun, ia tidak harus terhenti dengan akta ini semata-mata, Malaysia sebenarnya masih memerlukan kepada undang-undang tembakau baharu yang lebih komprehensif walaupun tanpa peruntukan generasi penamat rokok (GEG).

Penulis Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Setiausaha Badan Kebajikan Kakitngan Usim

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 5:59 AM