YUSRY YUSOFF
YUSRY YUSOFF
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) melakukan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran mengenai risiko di dalam industri kewangan berkaitan perubahan iklim.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yusry Yusoff berkata, berdasarkan tinjauan dilakukan Ernst & Young Malaysia, lebih 90 peratus syarikat mendapati bahawa cuaca melampau adalah risiko kepada perniagaan.

Beliau berkata, dianggarkan potensi kesan kewangan untuk risiko berkaitan dengan iklim adalah pada USD250 bilion (RM1.014 trilion) iaitu membabitkan kemerosotan atau penghapusan aset hasil daripada risiko peralihan dan fizikal.

"IBFIM sebagai ahli Pemerhati Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) melancarkan modul Tahap 1 yang dibangunkan Ernst & Young dengan kerjasama JC3 dan dibiayai kerajaan United Kingdom di bawah Program Tenaga Karbon Rendah (LCEP).

"JC3 yang diterajui Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bertujuan mengambil tindakan kolaboratif bagi membina keupayaan menangani perubahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, modul Tahap 1 kini dapat dilayari secara percuma melalui laman web IBFIM, https://ibfimonline.com dijangka dapat memberikan pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai risiko kewangan.

Menurutnya, objektif utamanya adalah meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim dan langkah yang harus diambil di dalam sektor kewangan.

"Di dalam mendukung mandat pembangunan kapasiti, IBFIM sebagai ahli 'United Nations Sustainable Development Solutions Network' (SDSN) Malaysia, sentiasa komited bagi memperkukuhkan pengetahuan masyarakat untuk mengelola risiko berkaitan iklim dan penghijauan sektor kewangan.

"Ini dilakukan dengan menyediakan landasan pembelajaran sesuai bagi mereka memperoleh pengetahuan lebih mendalam di dalam mengurus risiko berkenaan," katanya.

Menurutnya, di dalam menyokong usaha JC3 di dalam pembangunan kapasiti, IBFIM yakin landasan pembelajaran yang dapat dilayari secara jarak jauh itu dapat meningkatkan lagi kesedaran semua golongan masyarakat berhubung risiko perubahan iklim dan kesan terhadap sektor kewangan.

Katanya, sangat penting bagi sektor kewangan untuk mengimbangi di antara tiga aspek iaitu keperluan manusia, bumi dan keuntungan.

"Selain itu, menangani cabaran bagi memastikan kelestarian ekosistem yang akan membawa manfaat berterusan kepada faedah biodiversiti.

"Oleh itu, IBFIM berharap landasan pembelajaran digital ini akan menjadi pemudahcara bagi agenda JC3 dalam mengurangkan risiko ketara dan kesan sistemik yang dapat mempengaruhi kelestarian alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 10:48 PM