Yusry Yusoff.
Yusry Yusoff.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) telah bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri untuk menganjurkan program di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Program pensijilan utama IBFIM iaitu Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam dan Kelayakan Asas dalam Perbankan Islam telah dipilih oleh kementerian bagi MTCP.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, program itu akan dapat menyemai pemahaman yang lebih mendalam mengenai kewangan Islam di luar sempadan Malaysia.

"Sehingga kini, terdapat 3,312 pemegang pensijilan Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam dan 932 pemegang sijil Kelayakan Asas dalam Perbankan Islam," katanya.

IBFIM akan mengadakan empat program, yang pertama akan diadakan mulai 5 hingga 9 April ini membabitkan sebelas delegasi dari Turkmenistan, Azerbaijan, Bangladesh dan Laos.

Dilancarkan pada 7 Sept 1980, MTCP adalah komitmen Malaysia terhadap Kerjasama Selatan-Selatan, dan menjadi platform untuk Malaysia berkongsi pengalaman pembangunannya dengan negara-negara membangun yang lain.

Sejak penubuhannya, lebih 34,000 peserta dari 144 negara telah menyertai MTCP.

Terdahulu, IBFIM mengumumkan pelantikan semula Yusry Yusoff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 April lalu.

Dalam kenyataan hari ini, IBFIM berkata, Yusry yang telah menerajui IBFIM selama empat tahun, memiliki pengalaman lebih 27 tahun dalam pelbagai aspek pembangunan industri kewangan.

Sebelum menyertai IBFIM, beliau pernah berkhidmat dengan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Bank Negara Malaysia (BNM), Islamic Financial Services Board (IFSB) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Selain itu, beliau adalah Ahli Panel Perundingan Pasaran Sekuriti Bursa Malaysia.

Antara pengalaman beliau ialah membangunkan program pelaksanaan piawaian bagi IFSB dan mempromosikan industri pengurusan dana Islam di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Yusry berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sarjana Undang-Undang Komersial dari University of Melbourne.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 9:38 PM