MENYAMBUT kedatangan Hari Raya Aidiladha itu sepatutnya kita mulakan dengan menghidupkan sunah di malamnya.
MENYAMBUT kedatangan Hari Raya Aidiladha itu sepatutnya kita mulakan dengan menghidupkan sunah di malamnya.
Mohd Rizal Azman Rifin

Dua hari paling eksklusif bagi umat Islam ialah Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Dua hari itu adalah anugerah Allah buat umat Nabi Muhammad SAW dan seharusnya kita memanfaatkannya bukan sekadar untuk bersuka gembira bersama ahli keluarga dan jiran sekampung.

Misalnya, Hari Raya Aidiladha yang kita sambut hari ini sewajarnya menjadi detik menyuntik rasa insaf diri untuk kembali menghayati sirah Nabi Ibrahim dan puteranya, Nabi Ismail dahulu.

Ibrah sirah Nabi yang mulia itu yang penuh dengan pengajaran mengenai pengorbanan hendaklah kita serap sedalamnya dalam hati kerana kehidupan kita mencari keredaan Allah penuh dengan pengorbanan.

Sebenarnya, menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha itu sepatutnya kita mulakan dengan menghidupkan sunah di malamnya. Hal itu kerana malam raya baik malam Aidilfitri mahupun Aidiladha adalah malam yang berkat dan Baginda Nabi SAW sangat menganjurkan kita untuk melakukan amalan sunat.

Pesan Baginda, "Sesiapa menghidupkan malam kedua Hari Raya, pasti tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati." (Hadis Riwayat Ibn Majah).

Kenyataan Baginda itu seharusnya kita ambil perhatian serius supaya kedatangan Aidiladha lebih bermakna.

Manakala Imam Muhammad al Khatib asy Syarbini ada melaporkan bahawa Imam Syafii pernah berkata: "Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan sesungguhnya terdapat lima malam dimustajabkan doa iaitu pada malam Jumaat, malam Hari Raya Korban, malam Hari Raya Fitrah, malam pertama Bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban."

Justeru, usah kita mensia-siakan kedatangan malam raya tanpa disikan dengan sesuatu amalan termampu kita lakukan berdasarkan sunah Baginda.

Selain kita berpuasa sunat Hari Arafah, sambil kita memperbanyakkan doa kerana mahu mengambil peluang masa yang dianjurkan untuk berdoa, kita juga tidak sewajarnya berhenti setakat itu, sebaliknya kita terus memaksimumkan amalan di malam hari raya pula.

Sesungguhnya, apabila menyebut mengenai Hari Raya Aidiladha, maka yang serangkai dengannya tidak lain adalah ibadah korban.

Jadi, ibadah korban adalah amalan ekslusif umat Islam pada ari Aidiladha. Rasulullah SAW memberiitahu bahawa ibadah korban adalah lambang ketakwaan kepada Allah dan sifat ehsan sesama insan.

Baginda pernah menyatakan, "Siapa yang menyembelih sebelum solat, maka sesungguhnya ia menyembelih untuk dirinya sendiri dan siapa yang menyembelih setelah solat, maka sungguh ia telah menyempurnakan sembelihan korbannya dan dan dia telah melaksanakan sunnah kaum Muslimin dengan tepat." (Hadis Muttafaq Alaih)

Ibadah korban, selain menyahut sunah Nabi SAW dan mengembalikan ingatan terhadap peristiwa agung pengorbanan dua beranak yang mulia, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, kita juga pastinya turut terpanggil untuk menjadikan Aidiladha sebagai landasan memperkukuhkan hubungan persaudaraan.

Ini masanya hubungan sesama ahli kerabat, jiran tetangga dan ahli komuniti setempat ditautkan kasih sayang bersandarkan jalan diredai Tuhan. Hubungan mesra kita rapatkan menerusi ibadah solat sunat hari raya. Yang jauh kita dekatkan, yang sudah dekat kita mesrakan.

Solat sunat Aidiladha bukan sekadar untuk menjejak amalan sunah dan mengharapkan pahala besar di sisi Allah, dalam waktu sama perasaan kebersemaan dan saling merapat hubungan dapat dizaqhirkan.

Ini kelebihan dalam apa pun solat secara berjemaah, apatah lagi ketika solat hari raya.

Perlu kita sedari bahawa ibadat haji, solat sunat hari raya secara berjemaah dan melakukan ibadah korban semuanya mengajak kita umat Islam bertemu dan bekerjasama dalam melakukan ibadah.

Ia adalah cara yang paling efektif untuk melahirkan kemeseraan yang mampu menyatukan hati sesama mukmin.

Tambah-tambah pada waktu mutakhir ini, apabila kita melihat umat Islam kian berpecah dan berbalah atas pelbagai isu dan kes. Maka sangat sesuai sambutan Aidiladha dijadikan jambatan yang menghubungkan tali persaudaraan.

Ini masanya pratikal terbaik untuk seluruh mukmin untuk kembali bertaut hubungan ukhuwah tanpa dikongkong dengan isu yang tidak sewajarnya.

Jadikan Hari Raya Aidiladha/Hari Raya Korban pemula untuk kita rela berkorban kepentingan diri demi menyahut seruan Nabi supaya umatnya hidup saling bertaut hati. Kita seharusnya menggagahkan diri untuk mengetepikan apa sahaja rasa iri hati, sifat dengki apatah lagi untuk bermasam muka sesama saudara seakidah, sekali gus menjadikan kita semua sebagai umat yang hidup bak aur dengan tebing.

Kita seharusnya mengambil peluang di Hari Raya Aidiladha untuk meninggalkan segala parut luka hati sesama sendiri dan dalam masa sama berusaha keras untuk tidak mahu terus menerus berada dalam pengaruh emosi negatif bersarangkan sifat mazmumah yang dikeji Ilahi.

Kita ambil dan pegang seutuhnya perintah Akllah sebagaimana terakam dalam surah Ali-Imran, ayat 103 yang bermaksud, "Dan hendaklah kamu berpegang teguh dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai."

Perintah Allah itu kita mulakan dengan penghayatan Hari Raya Aidiladha dengan mengikat kukuh hubungan ukhuwah dan mengetepikan apa sahaja isu yang memungkin tercetusnya rasa untuk berbalah.

Demikian juga dengan nada rezeki buat kita untuk menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini bukan sekadar satu hari cuti dari bekerja atau setakat mahu melakukan ibadah korban semata-mata, sebaliknya kuatkan semangat hati untuk memperteguh ukhuwah sesama ahli kerabat, jiran tetangga mahupun dengan sesiapa sahaja.

Kita seharusnya mengambil peluang untuk menuruti sepenuhnya apa yang diperintah Allah seperti yang terkandung dalam surah al-Hujjurat, ayat 10 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat."

Kita raikan Hari Raya Aidiladha ini dengan semangat jitu untuk menjadi Mukmin yang bersatu.

Selamat Hari Raya Aidiladha. Semoga apa sahaja amal ibadah, amalan soleh sepanjang bulan Zulhijah dan pada hari raya ini yang kita laksanakan menjadi amalan bernilai pahala di sisi Allah.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 5:59 AM