Norhayati Nordin


FIGURA selebriti popular iaitu Bell Ngasri, 44, sehingga kini nampaknya belum lagi tergugat apabila 'yak yak yeay' dan Barkoba yang menjadi jenamanya masih kekal di genggaman.

Meskipun Barkoba lakonan Bell mengetengahkan imej negatif 'geng plastik hitam' yang tidak berpuasa Ramadan, tetapi ketika bulan Zulhijah ini pula dia aktif dengan iklan mengajak orang ramai melakukan ibadah korban.

Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal @ Ngasrizal Ngasri berkata, dia bersyukur rezekinya tidak putus sama ada ketika Ramadan sehingga musim haji dengan iklan yang baik dihasilkan untuk menarik masyarakat Muslim terhadap aktiviti korban.

"Alhamdulillah, bulan Ramadan memang orang biasanya ingat saya dengan Barkoba, 'geng plastik hitam' dan 'yak yak yeay' lah. Tetapi, pada Aidiladha pula saya banyak buat iklan korban dan untuk tahun ini bersama Yayasan Budi Ehsan Malaysia (YBEM) dengan Datuk Ustaz Kazim Elias.

"Sebenarnya kerjasama dengan Ustaz Kazim ini sudah saya buat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu sehingga sekarang. Jadi, kalau Barkoba ajak orang tak puasa itu dah teruk dah, tetapi untuk raya korban (Aidiladha) ini kita buat benda elok pula.

"Umpamanya banyak ajak orang buat ibadah korban, sedekah dan sebagainya yang baik-baik. Harapannya, moga-moga pahala diperoleh itu lebih untuk jaminan di akhirat nanti," katanya mengakui sudah lama mempunyai impian menunaikan haji.

Bell berkata, kalau berbicara impian haji memang tidak dinafikan keinginannya untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu sudah lama kira-kira 30 tahun lalu ketika ibu bapanya menunaikan haji pada 1994.

"Kalau ikut pada impian saya nak buat haji ini daripada zaman ibu bapa saya tunaikan haji dulu, tapi tak ada lagi rezeki masa itu. Bagaimanapun, sasaran saya nak buat haji memang sentiasa ada.

CUKUP popular dengan Barkoba dan 'yak yak yeay'.
CUKUP popular dengan Barkoba dan 'yak yak yeay'.

"Pada tahun lalu, jika diikutkan adik saya iaitu Anne (Datin) ada pergi (haji). Namun, dua tahun sebelum itu pun Anne pernah mengajak, namun sayangnya masa itu saya pula terikat dengan beberapa komitmen yang sudah dijanjikan lebih awal.

"Apa pun, saya ada membuat simpanan dengan Tabung Haji. Tetapi, sampai sekarang rezeki giliran saya belum sampai lagi dan kena sabar menunggu," katanya.

Menurut Bell, dia yakin bukan dirinya seorang saja mempunyai impian serta hasrat supaya dipilih mendapat rezeki menunaikan haji, namun semua ini pasti berlaku dengan izin Allah dan sebagai hamba-Nya hanya mampu terus berdoa.

Berbicara karier seninya, Bell berkata, dia masih individu sama yang dulu apabila tidak bersikap terlalu memilih

dan 'demand' tinggi dalam urusan kerja kerana baginya paling penting adalah menghargai rezeki.

"Saya tetap sedia terima watak kecil dan pembantu asalkan ia sesuai dan dapat dilakonkan dengan baik. Sejak dulu saya tidak pernah meletakkan fokus untuk berlakon watak utama dan jadi hero saja," katanya.

Tahun lalu, Bell meraih anugerah Artis Komedi Popular dan dia juga dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35) yang dimenanginya selepas 37 tahun aktif sebagai pelakon.

Kejayaan besar dimenangi Bell itu turut mencetus fenomena apabila rezeki kemenangannya bersandarkan pada bakat semata-mata kerana dia mengakui sehingga kini tiada kelab peminat.

BELL teruja dipilih jadi penyiasat tetap ICSYVMY 7.
BELL teruja dipilih jadi penyiasat tetap ICSYVMY 7.

Teruja jadi penyiasat tetap

Memasuki musim ketujuh program nyanyian popular disiarkan TV3 iaitu I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY 7) yang ditayangkan mulai 23 Jun ini, Bell gembira menjadi seorang daripada empat penyiasat tetap.

Bell berkata, dia seronok bekerjasama dengan penyiasat tetap yang lain iaitu Naim Daniel, Riena Diana dan Siti Khadijah Halim yang menemui penonton setiap Ahad, jam 9 malam, termasuk bersama pengacara, Izzue Islam dan Shiha Zikir.

"Selepas setiap musim saya diundang TV3 sebagai penyiasat undangan, Alhamdulillah untuk ICSYVMY 7 kali ini akhirnya dapat juga menjadi penyiasat tetap. Memang saya suka dengan program ini.

"Kenapa saya suka sebab kena main teka-teki untuk cari penyanyi sebenar dan penyamar. Nampak mudah, tetapi tak senang sebenarnya kerana semua peserta dipilih ini juga pandai berlakon. Jadi, kita mudah ditipu mereka.

"Apa pun, program ICSYVMY 7 sangat menghiburkan bagi saya, terutama kami di barisan penyiasat tetap dan pengacara, semua 'masuk air'. Malah, kami juga sangat memberikan kerjasama yang baik bagi memastikan penonton terhibur," katanya.

Bell berkata, dia berterima kasih kepada TV3 dan produksi ICSYVMY 7 kerana memberi peluang untuknya menjadi penyiasat tetap dalam program itu yang disifatkan banyak juga memberi ilmu dan pengalaman baharu menyeronokkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 6:01 AM