KETUA Kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya berbual dengan dua atlet Triathlon Kebangsaan, Chong Xian Hao dan Isaac Tan Zhen Wei di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil. FOTO Aziah Azmee
KETUA Kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya berbual dengan dua atlet Triathlon Kebangsaan, Chong Xian Hao dan Isaac Tan Zhen Wei di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil. FOTO Aziah Azmee
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kedua-dua atlet triatlon negara, Isaac Tan dan Chong Xian Hou berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 namun jurulatih mereka, Albert Tan menasihatkan anak buahnya itu sentiasa berhati-hati pada fasa latihan terakhir.

Menurutnya, buat masa sekarang mereka sentiasa memantau keadaan kesihatan Isaac dan Xian Hou dan perkara paling penting ialah mengelak daripada terjadinya sebarang kecederaan.

"Kita kena pantau kesihatan mereka, paling penting mengelak daripada berlakunya kecederaan mahupun kemalangan. Kalau berlatih terlalu lasak ia juga boleh mengakibatkan mereka jatuh sakit dan tidak dapat mengambil bahagian pula," kata Albert.

Ujarnya, buat masa sekarang Isaac dan Xian Hou sedang melakukan persiapan rapi mengikut perancangan yang sudah ditetapkan.

"Mereka boleh capai apa yang kita sasarkan di Birmingham selepas sudah bertanding di beberapa kejohanan sebelum ini dan catatan masa semua meningkat.

"Kita tidak mengerah mereka dengan terlalu lasak semuanya bergantung kepada tahap kecergasan masing-masing. Mereka tidak perlu untuk memperbaiki apa-apa hanya perlu mengikut perancangan ditetapkan," katanya.

Xian Hou bakal melakukan penampilan kali kedua di Komanwel dengan penyertaan sulung pada 2018 di Gold Coast dia menduduki tempat ke-30 daripada 36 atlet yang mengambil bahagian.

"Apa sahaja boleh berlaku di temasya, kita sudah mempersiapkan mereka dengan menyediakan rakan sepelatih dan memberikan simulasi latihan yang hampir serupa dengan kejohanan besar seperti ini," katanya.

Semalam, Ketua Kontinjen, Datuk Shahrul Zaman Yahya berharap kedua-dua atlet triatlon negara itu mampu untuk memperbaiki catatan peribadi terbaik masing-masing di Birmingham.

Acara triatlon individu akan diadakan pada 29 Julai ini di sekitar kawasan Sutton Park dan Sutton Coldfield.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 2:47 PM