ISAAC  Tan  ketika menyertai final triatlon Sukan Komanwel 2022 di Sutton Park, Sutton Coldfield, Birmingham semalam. FOTO Albert Tan Yi Wei
ISAAC Tan ketika menyertai final triatlon Sukan Komanwel 2022 di Sutton Park, Sutton Coldfield, Birmingham semalam. FOTO Albert Tan Yi Wei
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Jurulatih triatlon negara, Albert Tan Yi Wei tetap berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya, Isaac Tan Zhen Wei walaupun gagal mencapai sasaran catatan masa ditetapkan pada Sukan Komanwel 2022 di sini, semalam.

Wakil tunggal negara itu hanya mampu menduduki tempat ke-34 selepas mencatat 1 jam 2 minit dan 58 saat pada perlumbaan di Sutton Park, Sutton Coldfield, dekat sini, selepas dibayangi dengan masalah suhu air sejuk yang mencecah 20 darjah selsius.

Sebelum ini, Albert berharap Isaac mampu mampu mencatatkan masa di bawah satu jam bagi mengatasi pencapaian terbaiknya sebelum ini iaitu satu jam satu minit dan lima saat. Ia dirakamkan pada Kejohanan Pecut Triathlon Asia 2022 di Sejong, Korea Selatan, baru-baru ini.

"Secara keseluruhan saya puas hati dengan pencapaian Isaac itu. Catatan masa bagi renang dan lariannya ada kemajuan manakala acara basikal tersasar sedikit kerana isu taktikal.

"Walaupun tak capai sasaran tapi ia tetap berjaya menghampiri masa catatan terbaiknya. Sekurang-kurangnya dia tetap konsisten," katanya.

Mengikut laporan Bernama semalam, Isaac, 17, terpaksa menggunakan baju renang tahan sejuk atau wetsuit milik atlet England, Alex Yee pada perlumbaan semalam.

Kira-kira 30 minit sebelum saingan bermula, keadaan air masih di bawah 20 darjah celsius. Justeru pemakaian baju renang tahan sejuk boleh mengelak komplikasi untuk disiplin berikutnya iaitu berbasikal dan berlari.

ISAAC ketika beraksi dalam disiplin berbasikal acara triatlon.
ISAAC ketika beraksi dalam disiplin berbasikal acara triatlon.

Berdasarkan makluman awal, semua peserta boleh memakai tri-suit, iaitu pakaian yang sesuai untuk ketiga-tiga disiplin iaitu berenang sejauh 750 meter, berbasikal (20 kilometer) dan berlari (5 kilometer).

Ketika pasukan negara sedang mencari pakaian renang tahan sejuk, Yee yang baru keluar daripada memanaskan badan dalam air menawarkan pakaiannya untuk dipinjamkan kepada Isaac kerana beliau mempunyai dua set.

Bagaimanapun, pemakaian baju renang tahan sejuk itu menjejaskan rentak Isaac yang kurang biasa dengan pakaian berkenaan.

Yee memenangi acara berkenaan selepas mencatat 50 minit 34 saat manakala pingat perak milik peserta New Zealand Hayden Wilde (50:47s) dan tempat ketiga.

Albert yang berlepas pulang ke Kuala Lumpur hari ini berkata Isaac akan meneruskan latihan seperti biasa bagi menghadapi satu lagi kejohanan terdekat selepas ini.

"Harapan saya selepas ini, Isaac akan terus catat kemajuan secara konsisten bagi membolehkan dia mencapai sasaran bawah satu jam," katanya.

Isaac kini dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada sukan triatlon selepas menamatkan pengajiannya di sebuah sekolah swasta di Putrajaya pada Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 3:28 PM