ISAAC ketika beraksi dalam disiplin berbasikal acara triatlon.
ISAAC ketika beraksi dalam disiplin berbasikal acara triatlon.
BERNAMA

Birmingham: Peserta tunggal negara Isaac Tan Zhen Wei mungkin tidak memenangi pingat emas acara triathlon Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Sutton Park, Sutton Coldfield dekat sini, semalam.

Namun, atlet berusia 17 tahun itu boleh 'tumpang bangga' kerana baju renang tahan sejuk atau 'wetsuit' yang dipakainya ketika disiplin berenang adalah milik pemenang pingat emas acara berkenaan Alex Yee dari England.

Kira-kira 30 minit sebelum saingan bermula, keadaan air masih di bawah 20 darjah celsius, justeru pemakaian baju renang tahan sejuk boleh mengelak komplikasi untuk disiplin berikutnya iaitu berbasikal dan berlari.

Berdasarkan makluman awal, kesemua peserta boleh memakai tri-suit, iaitu pakaian yang sesuai untuk ketiga-tiga disiplin iaitu berenang sejauh 750 meter, berbasikal (20 kilometer) dan berlari (5 kilometer).

Ketika pasukan negara sedang mencari pakaian renang tahan sejuk, Yee yang baru keluar daripada memanaskan badan dalam air menawarkan pakaiannya untuk dipinjamkan kepada Isaac kerana beliau mempunyai dua set pakaian itu.

Bagaimanapun, pemakaian baju renang tahan sejuk itu menjejaskan rentak Isaac yang kurang biasa dengan pakaian tersebut menyaksikan dia menduduki tempat ke-34 selepas mencatat 1 jam 2 minit dan 58 saat.

Sebelum ini, jurulatih triatlon negara Albert Tan Yi Wei meletakkan sasaran masa di bawah satu jam.

Catatan di bawah satu jam tersebut bagi mengatasi rekod terbaiknya iaitu 1' 01:05s yang diciptanya pada Kejohanan Pecut Triathlon Asia 2022 di Sejong, Korea Selatan, baru-baru ini.

Namun, Albert tetap berpuas hati dengan pencapaian Isaac dan percaya anak buahnya mampu mencatat keputusan lebih baik jika tidak timbul 'masalah' di awal saingan semalam.

"Pemakaian wetsuit bukan wajib tetapi disebabkan keadaan air terlalu sejuk, perlu guna pakaian renang itu bagi mengelak sebarang masalah untuk disiplin seterusnya. Tetapi menggunakan pakaian renang itu menjejaskan catatan Isaac kerana selepas berenang, perlu tanggalkan pakaian itu untuk berbasikal.

"Apa-apapun kami berterima kasih kepada Yee kerana meminjamkan pakaian renang tersebut. Cuma Isaac kata dia boleh buat lebih baik daripada hari ini," kata Albert.

Yee memenangi acara berkenaan selepas mencatat 50 minit 34 saat manakala pingat perak milik peserta New Zealand Hayden Wilde (50:47s) dan tempat ketiga dimenangi Matthew Hauser dari Australia selepas mencatat 50:50s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 5:39 PM