XIAN Hao (kiri) dan dan Isaac Tan berlatih di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil. FOTO Aziah Azmee
XIAN Hao (kiri) dan dan Isaac Tan berlatih di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil. FOTO Aziah Azmee
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun akan bersaing dengan kuasa besar triatlon di Sukan Komanwel Birmingham 2022, ketua kontinjen negara, Datuk Shahrul Zaman Yahya mahu dua atlet negara, Chong Xian Hou dan Isaac Tan melakarkan elemen kejutan di temasya berkenaan.

Menurut Shahrul Zaman, setiap atlet dalam acara apa sekali pun mempunyai peluang melakar kejutan sebab sudah melayakkan diri dan berada di kejohanan berbentuk temasya.

"Apa sahaja boleh berlaku, kita sendiri tidak tahu. Paling penting mereka sudah terpilih untuk beraksi di sana. Kita doakan yang terbaik dan dalam masa sama mengharapkan mereka juga melakukan yang terbaik," katanya yang mengadakan lawatan melihat dua atlet triatlon berkenaan melakukan persiapan.

Ujarnya yang juga presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), dua atlet berkenaan juga diharapkan mampu untuk melakar catatan peribadi terbaik walaupun bakal berdepan negara yang sudah terkenal dengan sukan triatlon.

"Saya mahu mereka cuba mempertingkatkan catatan peribadi terbaik kerana kita bersaing dengan negara yang sudah sinonim dalam acara triatlon. Sukan ini masih baru, jadi kita faham sekarang adalah proses untuk menapak. Jadi kita tidak letak sasaran yang tidak munasabah. Bagaimanapun, kita mahu mereka memperbaiki catatan peribadi terbaik masing-masing," katanya.

Tambah Shahrul Zaman, kedua-dua atlet berkenaan masih muda dan perjalanan masing-masing masih jauh dalam sukan berkenaan.

"Saya harap mereka konsisten untuk berlatih dan mengembangkan karier dalam sukan ini sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, jurulatih triatlon negara, Albert Tan berkata, kedua-dua anak buahnya harus memberikan saingan sengit sejak dari awal perlumbaan jika mahu mencapai sasaran memperbaiki catatan peribadi terbaik dan melakar kejutan.

"Kebanyakan negara dari United Kingdom, Australia, Kanada dan Afrika Selatan membariskan atlet profesional, jadi jika kita hendak bersaing dengan mereka latihan kita juga harus berbentuk 'profesional'," katanya.

Acara triatlon individu akan diadakan pada 29 Julai ini di sekitar kawasan Sutton Park dan Sutton Coldfield.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 2:23 PM