ISAAC baru berusia 17 tahun.
ISAAC baru berusia 17 tahun.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sepuluh tahun lalu Tony Tan mungkin gusar dan pening memikirkan masa depan anaknya, Isaac Tan selepas disahkan mempunyai masalah autisme, namun berkat kesabaran serta usaha gigihnya atlet berusia 17 tahun itu kini bakal beraksi dalam acara triatlon di Sukan Komanwel buat kali pertama hujung bulan ini.

Bermula hanya untuk mendedahkan Isaac dengan dunia luar dan menyediakan satu aktiviti khas agar anaknya itu berkembang seperti kanak-kanak lain, sukan berbasikal menjadi pilihan Tony.

"Pelbagai cabaran ditempuh ketika hendak membesarkannya, namun sukan berbasikal membuka ruang buatnya untuk menjadi seorang atlet negara. Dia kini bukan sahaja boleh berbasikal, berenang dan berlari seperti individu lain sekali gus menjadikannya sebagai seorang atlet triatlon negara," kata presiden Persatuan Triatlon Malaysia itu.

Isaac kini berada dalam fasa persiapan terakhir bersama seorang lagi atlet triatlon negara, Chong Xian Hao untuk mewakili negara di temasya berkenaan di Birmingham.

"Saya begitu teruja untuk beraksi di Komanwel kerana berpeluang berjumpa dengan idola saya seperti Hayden Wilde (New Zealand), Alex Yee (England), Matthew Hauser (Australia). Apabila bertemu mereka saya akan mengucapkan 'hello'.

"Mengenai perlumbaan pula saya akan mengikut segala strategi diberitahu jurulatih dan cuba mengatasi catatan peribadi terbaik 1 jam 1 minit. Saya cuba menghabiskan perlumbaan ini di bawah catatan satu jam," kata Isaac.

Menurut atlet kelahiran Kuala Lumpur itu, dia tidak pasti dengan cabaran bakal dihadapinya di Birmingham nanti tapi cukup untuk dia hanya menumpukan kepada catatan terbaik.

"Saya memang berasa teruja kerana bukan sahaja dapat berjumpa kawan baru tapi tidak sabar untuk berlumba. Jika hanya fokus kepada catatan masa saya sendiri, saya rasa semuanya berjalan lancar," katanya.

Isaac juga berasa puas apabila ibu bapanya, rakan-rakan dan peminat mengucapkan selamat berjuang buatnya di Sukan Komanwel termasuk mendapat sokongan padu daripada sahabat baiknya, Xian Hao.

"Sahabat baik saya, Xian Hao turut mengucapkan selamat maju jaya kepada saya dan saya sangat menghargainya, malah kami berdua akan beraksi bersama-sama di Komanwel nanti," katanya. Acara triatlon individu akan diadakan pada 29 Julai ini di sekitar kawasan Sutton Park dan Sutton Coldfield.

"Apa yang penting saya gembira dapat ke sana dan berjanji akan membuatkan Malaysia bangga," katanya yang akan berlepas ke Birmingham pada 23 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 2:23 PM