SHAHIDAN (dua dari kiri) pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO AIDA ADILAH MAT
SHAHIDAN (dua dari kiri) pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO AIDA ADILAH MAT
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Siapakah atlet olahraga akan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 atas tiket wild card masih misteri apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilih untuk menunggu sehingga 2 atau 3 Julai ini.

Keputusan sama ada memilih jaguh 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Fahmi atau pemegang rekod kebangsaan 400m, Shereen Samson Vallaboy masih lagi menjadi tanda tanya.

Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam satu sidang media khas di Bangunan Parlimen berkata, pencapaian dua pelari itu di Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang akan menjadi penilaian terakhir kepada pemilihan berkenaan.

"Hari ini berlangsungnya mesyuarat kedua selepas kali pertama pada Selasa lalu.

"Kami menerima laporan kesihatan dari Institut Sukan Negara (ISN) untuk dibentangkan dan kedua-dua mereka memang tiada masalah.

"Azeem atau Shereen, mereka memang layak. KOM akan meneliti satu dua perkara lagi yang tidak dapat diselesaikan selepas AUG sebelum keputusan rasmi dibuat," katanya.

Azeem dan Shereen turut dicabar memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara masing-masing iaitu 100m dan 400m di AUG nanti.

Terdahulu, Olahraga Dunia (WA) tahun ini mengeluarkan syarat baharu apabila hanya memberikan satu slot wild card bagi acara olahraga iaitu dalam acara 100m, 800m dan maraton berbanding syarat sebelum ini iaitu dua tiket wild card lelaki dan wanita dalam mana-mana acara.

Jika dipilih, Azeem akan berlari dalam 100m iaitu acara utamanya manakala Shereen yang beraksi dalam 400m perlu berlari dalam 100m dengan catatan peribadi terbaiknya musim ini 11.61 saat (s).

Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s yang dilakukan ketika Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun (B-20) Dunia di Colombia pada 2022.

Shereen pula awal bulan ini memperbaharui rekod kebangsaan miliknya menerusi catatan 51.79s ketika melakukannya di Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:55 PM