SHEREEN menunjukkan pingat emas 400m dimenanginya di Terbuka Kazakhstan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. FOTO BERNAMA
SHEREEN menunjukkan pingat emas 400m dimenanginya di Terbuka Kazakhstan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Sepang: Ketika ini, nama pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy menjadi sebutan sebagai atlet layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 biarpun akan beraksi dalam acara 100m atas tiket 'wild card'.

Ia susulan prestasi konsisten dipamerkannya dalam acara kegemarannya iaitu 400m selain turut memiliki catatan masa terbaik 11.61 saat (s) yang dicatatkan April lalu dalam acara 100m.

Dia turut mendapat tonik terbaik apabila meraih pingat emas ketika beraksi di Terbuka Kazakhstan di Pusat Latihan Olimpik Almaty dalam acara 400m minggu lalu dengan catatan 52.60s, namun gagal melepasi had kelayakan ditetapkan iaitu 50.95s.

Justeru Shereen, 25, yang berasal dari Perak menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk memilih siapa wakil negara ke Paris 2024.

Shereen yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 400m dengan catatan 51.79s antara dua calon berada dalam senarai pendek KOM bersama jaguh pecut, Muhammad Azeem Fahmi untuk beraksi di Paris 2024.

"Saya dan Azeem bekerja keras untuk ke Olimpik Paris dan pada penghujungnya kami berdua sebagai atlet mahu tiket 'wild card' untuk meraih pengalaman selain bersaing hebat di Sukan Olimpik.

"Saya rasa kami berdua berhak untuk berada di temasya sukan terbesar dunia itu.

"Apa sahaja keputusan yang kami terima, saya bersyukur dan terima kasih. Apa saja keputusan KOM saya menerima dengan hati yang terbuka," katanya.

Keputusan itu kini terletak di tangan KOM yang dijangka akan membuat pengumuman selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 5:58 PM